UMNO perlu miliki semangat juang, keikhlasan tinggi – Johari Ghani

UMNO perlu miliki semangat juang, keikhlasan tinggi_Johari_Abdul_Ghani_Yusrinuddin_Abd_Karim

KUANTAN: UMNO perlu memiliki semangat juang dan keikhlasan yang tinggi untuk memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata sikap itu akan membantu parti untuk kembali berada pada prestasi lebih baik.

“Perjuangan kena tanam (ada) keikhlasan dan kesabaran. Tidak boleh putus asa dan terus bersemangat untuk membantu parti beroleh kemenangan pada PRU akan datang.

“Apabila putus asa, automatik semangat akan luntur. Oleh itu, dalam perjuangan kita mesti ikhlas dan banyak bersabar untuk memastikan kejayaan,” katanya.

Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuantan di Dewan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO perlu memahami kehendak golongan muda di negara ini yang membabitkan kira-kira 40 peratus pengundi pada PRU akan datang.

Katanya, golongan muda itu memiliki pemikiran yang bagus terutama dengan perkembangan isu semasa.

“Sebab itu parti perlu memahami kehendak mereka jika mahu golongan muda bersama dengan kita,” katanya.

Sementara itu, Johari berkata, kerusi Parlimen Kuantan akan kembali menjadi milik UMNO pada PRU16.

Katanya, kemenangan akan tercapai dengan menyusun strategi terbaik hasil daripada kerjasama berpasukan.

Sumber: Berita Harian