KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menasihatkan pemimpin di Kelantan, Terengganu dan Kedah menambah baik sumbangan tiga negeri itu kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebelum mengintai negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan FMT, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata Kelantan perlu meningkatkan sumbangan KDNK negara daripada 1.8 peratus kepada 3.5 peratus terlebih dahulu “sebelum melakukan perkara lain”.

“Kalau Kelantan, Kedah dan Terengganu boleh naik, buat itu dulu. Kalau dia boleh berjaya jadikan 25 peratus, kita pun ‘serahkan’ Selangor kepada dia,” katanya dalam sebuah forum malam tadi.

Johari berkata demikian ketika diminta moderator untuk berkongsi pandangannya mengenai aspirasi pemimpin tertentu “mendidik” Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam memajukan ekonomi mereka.

Pada 27 Jun lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata, negeri itu menyumbang rekod 25.5 peratus kepada KDNK negara, meningkat 0.7 peratus berbanding 2021. Tetapi, Kelantan hanya menyumbang 1.8 peratus.

“Mungkin anda tak dapat (menyumbang) tepat macam Selangor 25 peratus, tetapi mungkin 12 peratus hingga 13 peratus sumbangan anda kepada KDNK negara.

“Kalau anda nak membangunkan ekonomi negara ini, dia tak boleh ke pusat, dia perlu ke negeri-negeri.”

Beliau turut mengalu-alukan pemimpin terbabit mengunjungi Selangor sebagai “pelancong” untuk belajar kerana “tidak salah belajar daripada mereka yang tahu mentadbir”.

“Bagi saya, kalau individu tertentu boleh memberi nilai tambah kepada kita dan kita boleh belajar daripada satu sama lain, mengapa tidak?” katanya.

Johari juga memberi amaran politik berlebihan boleh menjejaskan keyakinan pelabur kerana mereka mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Sebaik saja Pilihan Raya Negeri (PRN) berakhir, katanya, kerajaan perlu memfokuskan pembangunan negara, manakala pembangkang melakukan semak dan imbang di peringkat Parlimen dan DUN.