KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu memastikan mana-mana pihak yang mahu membangunkan kawasan Pasar Datuk Keramat di sini perlu memenuhi tiga syarat termasuk kemampuan kewangan syarikat berkenaan.
Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata syarikat berkenaan juga perlu mempunyai perancangan untuk memindahkan sementara peniaga di pasar berkenaan ke kawasan baharu.
“Saya sudah pesan kepada DBKL, pada masa akan datang, mana-mana pihak mahu ambil alih tanah DBKL ini (tapak Pasar Datuk Keramat), dia kena pastikan, semak latar belakang syarikat, kemampuan kewangan untuk siapkan projek dan ketiga, bagaimana dia mahu uruskan soal pemindahan peniaga di pasar ini.
“Kalau ketiga-tiga kriteria ini tiada, kita tak boleh bagi tanah itu. Sebab bila kita bagi, itu yang enam tahun lebih dia tak boleh buat apa. Jadi bila tidak buat apa, ada kerosakan dia tak betulkan, jadi ia mendatangkan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui media selepas menghadiri Program Santuni Madani yang dianjurkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi di Masjid Al-Aqram, Kampung Datuk Keramat, di sini.
Pada majlis itu, Johari turut menyerahkan sumbangan 500 bakul makanan yang mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kegagalan syarikat pemaju terdahulu untuk membaiki dan membangunkan kawasan pasar daif itu seperti dirancang sebelum ini, mengakibatkan pelbagai masalah infrastruktur timbul.
“Bahagian ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) dan Pejabat Perdana Menteri sudah turun untuk lihat apa yang perlu ditambah baik. Jadi saya sedang tunggu maklum balas. Pihak DBKL juga sudah ambil alih tanah dan duit dari pemaju juga sudah dipulangkan. Sebab pemaju tak boleh buat (pembangunan), jadi kita ambil balik.
“Mula-mula dia mahu buat pembangunan, halau peniaga yang sudah berniaga 30,40 tahun. Mana boleh, dia kena ‘win-win situation’. Itu yang saya tekankan (syarat kepada) mana-mana pihak yang mahu bangunkan kawasan ini.
“Kalau ada orang datang nak buat pembangunan, kena pastikan di mana peniaga ini akan dipindahkan. Ini penting sebab ini tempat mereka cari makan, mereka bukan tidak sah (berniaga), tapi memang disediakan tapak pasar untuk berniaga, ini soal pendapatan peniaga,” katanya.
Pada 26 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan turun padang melawat pasar berkenaan dan mengarahkan DBKL untuk memberi perhatian dan keutamaan kepada pembangunan semula pasar tersebut yang disifatkan sebagai sangat daif.
Media sebelum ini melaporkan, mengikut perancangannya, tapak Perumahan Awam (PA) Perlis Satu yang bersebelahan dengan Pasar Datuk Keramat lama akan dibangunkan dengan Pasar Datuk Keramat moden dan dilengkapi kemudahan parkir bertingkat selain ruang untuk pasar basah, kering yang boleh menempatkan seramai 333 peniaga.
Namun, hingga kini projek berkenaan tidak dapat dijayakan.
Bangunan asal Pasar Datuk Keramat sudah berusia hampir 40 tahun, selain infrastruktur yang sedia ada seperti sistem pendawaian elektrik, sistem saliran sudah memberikan masalah untuk diselenggara selain parkir yang tidak mencukupi.
DBKL sebelum ini memaklumkan pembangunan semula di kawasan yang menampung ekonomi warga kota juga perlu dinaik taraf untuk keselesaan, keselamatan peniaga dan pengunjung pada masa akan datang, selain lokasinya yang strategik berdekatan dengan stesen LRT Dato Keramat dan Damai.
SUMBER: BERITA HARIAN

