Kuala Lumpur: Fasa pembangunan Raja Pasar Bot perlu dilihat semula terutama membabitkan pembinaan tempat letak kenderaan bagi mengelakkan kompleks pasar baharu berkenaan ‘mati’
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, susulan itu beliau akan bertemu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jumaat ini untuk membincangkan dan melihat perkara berkenaan.
Menurutnya, ketika ini kompleks baharu sudah siap dan boleh digunakan namun ada segelintir peniaga yang belum berpindah ke lokasi berkenaan kerana mendakwa bangunan itu kurang dikunjungi pelanggan.
Katanya, pembinaan pembangunan berkenaan mengambil masa lebih 10 tahun untuk disiapkan, namun kini selepas ia selesai dibina, peniaga mendakwa pelanggan kurang mengunjungi kompleks berkenaan.
“Apabila sudah siap dan mereka dipindahkan ke dalam tetapi tiada orang mahu datang kerana pertamanya tiada parkir kenderaan. Bila tiada parkir siapa yang nak datang ke dalam pasar dan ia akan menjejaskan pendapatan peniaga.
“Keduanya dilihat di kawasan ini prioriti pembangunannya lebih kepada kedai daripada tempat letak kenderaan (tetapi) sebenarnya perlu bina parkir dahulu (kerana) kalau tiada parkir di Kuala Lumpur ini macam mana orang nak datang ke pasar ini,” katanya selepas melawat pasar terbabit, hari ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosli Sulaiman dan Ketua Cawangan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan Cawangan Jalan Raja Bot, Sharin Darus.
Difahamkan, pembinaan pasar berkenaan membabitkan empat fasa iaitu fasa pertama dan kedua sudah selesai dengan peniaga ada yang sudah beroperasi di bangunan baharu, manakala fasa ketiga membabitkan pembinaan kawasan pasar dan keempat, pembinaan parkir kenderaan.
Bagaimanapun, pembinaan tempat letak kenderaan yang masih belum dimulakan dan ia membawa masalah kepada peniaga kerana pelanggan didakwa kurang berbelanja di bangunan itu selain orang ramai juga sukar mendapatkan parkir.
Ia sekali gus menyebabkan kesesakan jalan di sekitar pasar berkenaan apabila banyak kenderaan diparkir di bahu jalan hingga ada yang mengganggu laluan.
Johari berkata, justeru bagi merungkai dan menyelesaikan masalah dihadapi peniaga di kawasan berkenaan, beliau berpandangan penyusunan semula fasa pembinaan projek pembangunan berkenaan perlu dilihat semula.
Katanya, selain mengadakan pertemuan dengan DBKL, pihaknya juga akan bertemu pemaju pembinaan kawasan berkenaan untuk berbincang supaya pembinaan tempat letak kenderaan itu dapat disegerakan dan didahulukan.
“Kita susun semula fasa (pembinaan projek) mungkin fasa parkir kenderaan akhir sekali tetapi apabila pembinaannya dilakukan terakhir, pasar sudah siap dan tiada parkir (akan buat) orang tak datang yang akhirnya pasar ini akan ‘mati’.
“Jadi kita mahu utamakan parkir dahulu dan notis yang diberikan (kerana tidak berniaga dalam kompleks baharu) pihak DBKL perlu ambil maklum yang mereka bukan tidak mahu berniaga (tetapi berlaku kerana mengalami masalah kekurangan pelanggan),” katanya.
Sementara itu, Johari yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi turut mencadangkan supaya tiga persatuan perniagaan di kawasan berkenaan bergabung dan sepakat dalam menyelesaikan perkara berkait di kawasan itu.
SUMBER: HARIAN METRO

