KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberi kelulusan kepada surau Al Falah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang sebagai surau Jumaat, bermula bulan ini.
Kelulusan tetap itu memudahkan penduduk Islam dari 940 unit PPR berkenaan, merangkumi Blok A, B dan C yang sebelumnya menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran yang kini terlalu sesak.
Sebelum ini, surau itu mendapat kelulusan sementara untuk mengadakan solat Jumaat semasa pandemik COVID-19, namun pihak pentadbiran terus berusaha mendapatkan kelulusan tetap yang akhirnya diperoleh beberapa minggu lalu.
Surau di kawasan PPR berkenaan dibuka di lokasi sedia ada pada 2016.
Perasmian Surau Jumaat Al Falah PPR Hiliran Ampang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, hari ini.
“Masjid yang ada sudah terlalu sesak. Bila saya dapat tahu permohonan diluluskan, saya sangat gembira. Kini, kita juga boleh mengadakan acara komuniti di sini,” kata Johari.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar memastikan surau ditadbir dengan adil dan telus serta membabitkan golongan belia dalam aktiviti bersama komuniti, selain tidak menjadikan pusat ibadat untuk menyebarkan ideologi politik.
Katanya, rumah ibadat adalah tempat untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Jangan bawa perpecahan ke dalam surau ini. Jangan bawa ideologi politik ke sini. Ini (tempat ibadat) adalah untuk masyarakat,” katanya.
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan turut hadir pada majlis perasmian surau itu yang mampu menampung sehingga 1,200 jemaah, disusuli dengan solat Jumaat.
Sementara itu, Pengerusi surau, Ahmad Fauzi Murad, berkata penduduk Islam di kawasan perumahan berkenaan, terutama warga emas kini mudah untuk menunaikan solat Jumaat tanpa perlu melintas jalan untuk ke Masjid Nurul Islam.
Fauzi berkata, semua itu tidak akan tercapai tanpa bantuan Johari dan beliau berterima terima kasih atas komitmen Ahli Parlimen Titiwangsa itu dalam merealisasikan impian umat Islam kawasan berkenaan.
Sumber: Buletin TV3

