Kampung Angkat MADANI KPK bantu naik taraf sosioekonomi penduduk

BATU PAHAT: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mahu Kampung Angkat MADANI (KAM) bawah seliaannya, memberi penekanan kepada usaha meningkatkan sosioekonomi serta peluang komuniti setempat menerokai aspek penambahbaikan kehidupan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata program KAM memberi impak besar, sekali gus berupaya meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Beliau berkata, KAM adalah satu konsep diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada semua kementerian bagi mengangkat sesebuah kampung.

“Pentingnya KAM ialah kita boleh melihat jika ada perkara terlepas pandang. KPK memilih Batu Pahat secara spesifik kerana banyak aktiviti berkaitan komoditi seperti kelapa sawit, getah dan koko.

“Jadi, sudah tentu saya mengambil peluang ini untuk melihat bagaimana kita boleh turun ke bawah dan memahami keperluan mereka.

“Peruntukan bagi KAM ialah RM2.5 juta, membabitkan baiki pulih surau, dewan dan sebagainya. Dengan peruntukan ini, pelbagai projek dilaksanakan di KAM, termasuk menaik taraf fasiliti pendidikan, rumah ibadat dan gelanggang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani, Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Dewan Serbaguna Taman Melodi, Kampung Parit Bilal, hari ini.

Kampung Parit Bilal dan Parit Amat menjadi KAM pertama bawah KPK, yang merupakan rangkaian bawah pimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Johari berkata, konsep KAM ialah mana-mana pemimpin menerajui setiap kementerian perlu merasakan denyut nadi masyarakat bukan saja dalam kawasannya tetapi juga berkaitan isu-isu berbangkit di tempat lain.

Beliau menjelaskan inisiatif KAM banyak memberi manfaat kepada pelbagai peringkat penduduk kampung, yang mana ia juga membabitkan kerjasama strategik kementerian dan agensi bawahnya, Pejabat Pembangunan Negeri, JPKK serta pemimpin komuniti.

“Saya bersama pihak KPK amat berbesar hati kerana diberi peluang dalam pelaksanaan program KAM bagi menyambut inspirasi kerajaan.

“Jika diberi tanggungjawab baik sebagai ahli majlis ataupun pemimpin masyarakat, mesti turun ke bawah,” katanya.

Sumber: Berita Harian