SEPANG: “Saya tidak mahu campuri urusan PKR,” tegas Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Diminta mengulas laporan jawatan Menteri Ekonomi yang bakal dikosongkan Datuk Seri Rafizi Ramli bakal diisi beliau, Johari berkata, perkara berkenaan membabitkan PKR dan tiada keperluan mencampuri urusan parti berkenaan.
Kenyataan Johari yang juga Naib Presiden UMNO sekali gus membayangkan jawatan Menteri Ekonomi adalah kuota PKR.
“Itu PKR… jadi saya tidak masuk campur,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 bagi Kenderaan Perkhidmatan Darat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Semalam, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Selain Rafizi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turut mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa 4 Julai 2025.
Dua menteri itu letak meletakkan jawatan semalam susulan kekalahan dalam pemilihan PKR.
Kedua-dua mereka menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bercuti bermula semalam.

