Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

‘Pusingan U’ pelaburan kerajaan jejas keyakinan umum, kata Johari

PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani menggesa kerajaan lebih berhati-hati dan melakukan perancangan strategik dalam pelaburannya.

Johari berkata, pasaran saham terkesan akibat kegagalan perjanjian menjual pegangan 33% dalam Boustead Plantation Bhd kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).

“Bila buat ‘announcement’, maka masyarakat pelabur dah setuju, dah bagi reaksi positif,” kata Johari (BN-Titiwangsa) di Dewan Rakyat. “Lepas itu kita ‘reverse’, jadi ini menyebabkan orang tak ‘confident’ dengan ‘capital market’ kita.”

Perjanjian KLK adalah hasil persetujuan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd pada Ogos untuk mengambil alih Boustead Plantations, yang sepatutnya melihat KLK memperoleh pegangan 33% dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.

LTAT, sebuah badan berkanun, adalah pemegang saham utama Boustead Holdings, yang memiliki Boustead Plantations.

Pada Rabu, KLK, LTAT dan Boustead mengumumkan bersetuju tidak meneruskan pengambilalihan itu. Bagaimanapun, keesokannya LTAT mengumumkan mahu membeli kumpulan perladangan itu pada harga RM1.55 sesaham.

Johari berkata, kerajaan mesti memahami selok-belok amalan pelaburan melibatkan pembelian dan penjualan saham. Beliau memetik beberapa contoh yang berjaya melibatkan Permodalan Nasional Bhd, malah juga Boustead sendiri.

Pada 2020, PNB menjual 56.3% pegangannya dalam Chemical Company of Malaysia Bhd kepada Batu Kawan Bhd untuk RM292.8 juta, manakala pada 2021, Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Boustead di Kuala Lumpur dijual kepada syarikat Singapura, Hotel Royal Ltd dengan harga RM177.3 juta.

“Kalau kita ada dana banyak manapun, setiap kali kita beli kita simpan, rugi pun…Lepas tu nak jual pun tak boleh,” kata Johari.

“Lama-lama kerajaan ‘own all these assets’ yang tidak memberi faedah.”

Johari berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas Menteri Pertahanan Mohamad Hasan menjawab soalan diutarakan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik).

Tarmizi meminta menteri itu menyatakan kedudukan kewangan dan pelaburan LTAT bagi memastikan ia terus komited dalam melaksanakan fungsinya sebagai skim simpanan persaraan bagi bekas tentera.

Sumber : FMT

Previous Govt investment U-turns will shake public confidence, warns Johari

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.