KUALA LUMPUR:
“Saya tak suka berjanji, saya nak jadi individu yang praktikal dan mendatangkan solusi untuk pembaharuan penduduk Titiwangsa,” kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau yang pernah menyandang kerusi itu pada PRU13 mahu kembali menyumbang bakti kepada penduduk setempat, selain berharap pengundi dapat membuat keputusan dengan bijak supaya nasib mereka akan terus terbela.
Mengulas mengenai perjalanan kempen yang sudah memasuki minggu kedua, beliau berkata, penduduk memberi sokongan positif dan faham apa yang disampaikan.
“Sambutan penduduk dalam kawasan Kampung Pandan, Datuk Keramat dan Kampung Baru memang sangat baik. Cuma saya nak pastikan pengundi yang duduk di luar. Maksudnya mereka yang tidak berada dalam tiga kawasan terbabit.
“Jadi, saya minta mereka ini tidak mengundi dengan menggunakan sentimen. Apa sahaja undian mereka, ia boleh beri kesan kepada penduduk lain,” katanya.
Selain itu, Johari menyelar sentimen yang kerap dimainkan pihak lawan dengan mengatakan kemenangannya di Titiwangsa akan membuka laluan kepada Presiden UMNO yang juga calon BN Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, perkara itu adalah percaturan yang dibuat disebabkan sudah ketandusan idea.
“Kalau bankrap perniagaan okay lagi. Ini bankrap idea, macam mana nak menjadi pemimpin? Kalau syarikat bankrap kita tutup tetapi kalau pemimpin bankrap idea habis rosak, harapan sahajalah yang tinggal.
“Kalau cakap oh undi Datuk Jo (panggilan mesranya dalam kalangan penduduk) ini undi Zahid Hamidi untuk jadi PM, eh kalau macam itu saya ini lebih besar daripada Zahidlah jawabnya ya? Sebab orang nak jadi PM kena pastikan saya diundi.
“(Tiada isu besar) sebab itu dia (pembangkang) pusing-pusing sebab dah tak ada isu. Dia (pembangkang) ceritalah undi Datuk Jo ini undi Zahid. Apa dia cerita adalah orang yang sudah bankrap idea,” katanya.
Sementara itu, penduduk tetap Kampung Baru, Idris Minin, 86, yang mula mengundi sejak PRU tahun 1950-an menegaskan, Johari adalah calon tepat untuk diangkat menjadi wakil rakyat.
“Saya dah hadap semua jenis pemimpin tapi tidak ada seorang pemimpin yang macam dia (Johari). Jadi, rugilah kalau orang Titiwangsa tak pilih dia. Ini kenyataan dan fakta dan kita tak boleh lari daripadanya.
“Cuba tengok apa jadi di Kampung Baru sekarang ini. Macam-macam masalah. Sebelum ini kami semua kena temberang. Pembohongan dan fitnah diterima bulat-bulat penduduk di sini,” katanya yang juga seorang penulis blog.
Sumber : BERITA HARIAN