KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani diakui kerap turun padang bagi membantu penduduk sekali gus mengambil tahu permasalahan mereka.
Penduduk Flat PKNS Jalan Tun Razak, Kampung Padang, di sini, Azlita Ali, 44, berkata bekas Menteri Kewangan II itu tidak pernah melupakan penduduk di kawasan itu biarpun tidak menjadi wakil rakyat selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Beliau baik dan selalu membantu penduduk di sini, termasuk saya dan keluarga. Baru-baru ini, saya menjalani pembedahan kanser payudara, beliau juga yang bantu dari segi kewangan.
“Bukan itu saja, keperluan barangan dapur dan persekolahan juga. Walaupun beliau bukan Ahli Parlimen di sini, tapi dia selalu turun padang membantu. Orang di sini memang tahu jasa beliau.
“Beliau memang tidak pernah melupakan kami di sini. Harap kali ini dia dapat memimpin kembali kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan rumah ke rumah di Flat PKNS Kampung Pandang, di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Sulaiman Sanusi, 72, berkata Johari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat pemasalahan penduduk di situ.
“Saya sudah mengenali beliau sejak PRU-13 lagi. Ketika itu saya masih larat berjalan pergi mengundi di Kampung Baru. Apabila dapat tahu beliau bertanding lagi, saya gembira.
“Beliau memang selalu bantu orang di sini. Tidak kira masa termasuk Hari Raya…malah beliau juga kerap menghulurkan bantuan walaupun bukan Ahli Parlimen. Macam hari ini, dia datang ke rumah dan bertanya mengenai keadaan kesihatan saya,” katanya.
Sementara itu, warga emas, Munah Man, 72, berkata kehadiran Johari sentiasa dinanti-nantikan penduduk di kawasan berkenaan.
“Beliau memang baik, selalu tolong orang, tak kira masa dan keadaan. Bukan saja datang melawat, tapi lebih daripada itu beliau buat. Sewaktu tidak menjadi wakil rakyat pun, dia memang tolong.
“Sewaktu banjir, rumah terbakar atau orang meninggal dunia, beliau datang juga melawat kalau ada orang beritahu. Setiap kali sambutan Aidilfitri pun saya dapat bantuan. Pendek kata beliau selalu ada dengan kami,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Johari berdepan saingan empat penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad, calon PEJUANG, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta calon PN, Dr Rosni Adam.
Selain itu, Johari juga berjanji tidak akan membiarkan isu penduduk ditipu pemaju perumahan membelenggu penduduk setempat sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat pada PRU-15.
Katanya, apa yang akan dilakukan adalah setiap pemaju perlu berhadapan dengannya terlebih dahulu jika mahu membentangkan sebarang projek perumahan bagi mengelakkan rakyat daripada mudah ditipu.
Malah, beliau mengakui tidak ada seorang pun warga Titiwangsa yang pernah ditipu sewaktu menyandang kerusi itu pada 2013 hingga 2018 (PRU-13).
“Mana-mana pemaju yang nak jalankan projek, mereka perlu berjumpa saya dah ahli jawatankuasa perumahan. Saya akan dengar sama ada pemaju itu temberang penduduk atau tak. Saya ada untuk penduduk, jadi mereka akan selamat.
“Sebab itu semasa saya jadi ahli Parlimen Titiwangsa sejak 2013 hingga 2018, tak ada seorang pun kena tipu . Saya buat UDA Legasi siap, Jambatan Pintasan Saloma siap dan banyak projek lain dijalankan,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran kempen yang dilihat lebih tertumpu ke kawasan perumahan flat, beliau berkata, ia bukanlah semata-mata untuk meraih undi, tetapi mahu melihat sendiri apakah penambahbaikan yang perlu dilakukan.
“Kebanyakan rumah flat saya lawati sudah usang dan ada yang bilangan ahli keluarganya ramai tapi tinggal dalam rumah sempit. Masa kecil mungkin selesa, tapi bila dah besar? Macam mana seorang kanak-kanak itu nak dapat pendidikan bagus kalau di rumah nak buat kerja sekolah pun tak selesa.
“Ini adalah perkara yang saya nak selesaikan. Mereka mengharapkan pemimpin dalam kawasan yang dapat selesaikan masalah mereka,” katanya.
Johari juga menjelaskan penerimaan penduduk setempat terhadapnya sangat baik dan akan terus menggandakan usaha dalam tempoh berbaki sebelum menjelangnya hari pengundian pada 19 November ini.
“Selepas berkempen hampir sembilan hari, saya nampak maklum balas daripada seluruh warga Titiwangsa membabitkan Kampung Baru, Kampung Pandan, Kampung Datuk Keramat, Setapak, Cochrane dan Maluri penerimaannya sangat positif.
“Bagaimanapun, saya nak pastikan bahawa dalam tempoh berbaki ini tidak ada unsur fitnah atau perkara yang memanipulasi fikiran rakyat. Sebab itu saya sedang giat turun padang, saya tak mahu rakyat salah pilih buat kali kedua,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN