KUALA LUMPUR: Mata pelajaran politik dan pentadbiran demokrasi antara inisiatif dipertimbangkan Barisan Nasional (BN) untuk dimasukkan ke dalam silibus pendidikan menengah dalam usaha mendidik golongan muda memahami politik negara.
Calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata tindakan itu membolehkan pelajar memahami dunia politik dan pentadbiran negara sebelum usia menginjak 18 tahun, sekali gus berupaya memenuhi tanggungjawab sebagai pengundi.
“Kami telah memikirkannya sejak usia mengundi disemak daripada 21 kepada 18 tahun, ia adalah satu pendedahan awal yang baik untuk mereka,” katanya pada sesi bertemu penduduk Pangsapuri Pandanmas 2 malam ini.
Johari berkata jika BN menang, inisiatif itu mungkin dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam silibus pembelajaran pelajar Tingkatan Empat dan Lima.
“Golongan itu akan mempunyai idea mengenai politik negara dan boleh membuat pertimbangan sendiri apabila membabitkan pilihan raya,” katanya.
Mengulas kerusi ditandinginya, bekas Menteri Kewangan II itu, berkata beliau tidak asing di kawasan itu kerana dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Pandan.
“Saya dibesarkan di Kampung Pandan, belajar di SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Aminuddin Baki dan sangat mementingkan keperluan penduduk di sini,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pengundi supaya tidak melakukan kesilapan sama dengan memilih calon yang hanya muncul ketika pilihan raya.
“Pilihan raya ini pastikan anda memilih wakil rakyat yang akan menjadi suara dan telinga anda dalam menangani isu masyarakat sehinggalah kepada isu nasional di Parlimen,” kata Johari yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa dari 2013 hingga 2018.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Datuk Seri Rina Mohd Harun memenangi Titiwangsa dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan Johari dan Mohamad Noor Mohamad daripada PAS.
Pada PRU15, kerusi Parlimen Titiwangsa bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Johari, Khalid Abdul Samad (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (PEJUANG) dan Dr Rosni Adam (PN).
Sumber : BERITA HARIAN