KUALA LUMPUR: Negara memerlukan pemimpin berwibawa yang layak dilantik sebagai Perdana Menteri interim, untuk mengurus pemulihan ekonomi dan menjamin kebajikan rakyat ketika wabak COVID-19.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pemilihan itu perlu memandangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sudah kehilangan sokongan UMNO, parti terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, krisis semasa dihadapi negara juga memerlukan kerajaan interim yang mengutamakan pemulihan ekonomi dan menyelamatkan nyawa, bukan bermain politik.
“Kita memerlukan seorang ketua yang boleh mempamerkan kepimpinan hebat dalam menguruskan krisis. Ini bukan tentang politik. Ini mengenai negara tercinta kita yang yang terus menderita kerana kepimpinan lemah.
“Kita memerlukan seorang pemimpin hebat untuk membawa rakyat keluar daripada penderitaan pandemik ini. Seorang pemimpin yang sihat, mempunyai imej bersih dan dihormati oleh rakyat, kakitangan awam, dan Ahli Parlimen,” katanya seperti dipetik portal FMT hari ini.
Beliau berkata, pemimpin yang mengemudi kerajaan interim itu perlu menggembleng tenaga individu berbakat dan berkebolehan daripada segala sektor, termasuk dari Ahli Parlimen pembangkang.
“Beliau juga mesti mempunyai kebolehan untuk mengatur strategi, merancang, dan memantau pelaksanaan tindakan kolaboratif kita semua sebagai negara, tanpa mempeduli sangat populariti diri atau didorong keinginan menambah pengaruh politik peribadi,” katanya.
Beliau mengulas keputusan mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO awal pagi tadi, yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan meminta beliau meletak jawatan.
Mengulas lanjut, Johari berkata, krisis dihadapi negara memerlukan tenaga dan bakat segenap lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politiknya.
“Jika kita memerlukan sumbangan minda, pengalaman, dan kepakaran pemimpin muda tertentu dalam pembangkang, tidak kira dari PKR, DAP atau Parti Amanah Negara (AMANAH), mahupun golongan profesional untuk digembelengkan sebagai sebahagian kerajaan interim yang dicadangkan, kita harus lakukannya.
“Kita tidak boleh bermain politik pada masa genting ini kerana ini soal survival negara. Segala yang terbaik di negara ini harus dimanfaatkan. Tidak ada lagi ruang untuk bermain politik. Kesihatan dan kesejahteraan rakyat harus jadi keutamaan.
“Ada pihak yang mahu atau mendesak pemerintahan Melayu-Islam semata-mata. Tetapi kita harus bersikap praktikal dan ingat pemerintahan Melayu-Islam tanpa bakat dan pengalaman yang diperlukan untuk menguruskan wabak ini, tidak akan membantu sesiapa pun, termasuk penduduk majoriti Melayu-Islam,” katanya.

Menyentuh program vaksinasi, Johari berkata, ia harus disegerakan terutama kawasan kepadatan penduduk tinggi seperti Lembah Klang dan ibu negeri seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Kota Bharu, Melaka, Seremban, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.
“Apabila fokus ini diberi keutamaan, kita mampu mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat kerana hampir 73 peratus penduduk kini tinggal di bandar atau berulang-alik ke bandar.
“Pendekatan ini akan membolehkan pembukaan semula sektor perniagaan, pembuatan dan perkhidmatan di bandar-bandar utama ini dan sekali gus memacu aktiviti ekonomi.
“Vaksinasi kunci (mengatasi wabak COVID-19) dan mesti dilakukan secara telus. Sekiranya kerajaan perlu membayar harga lebih tinggi untuk bekalan vaksin kerana permintaan dunia yang tinggi, tidak mengapa.
“Namun, ini (program vaksinasi berkesan) mesti digubal, dilulus, dan dilaksanakan dengan amat telus supaya tidak ada sesiapa mengaut keuntungan daripada penderitaan orang,” katanya.
Seiring berlangsungnya program vaksinasi dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya, bantuan untuk mereka yang terkesan ekoran pelbagai sekatan bukan saja perlu dipercepat, namun harus memenuhi keperluan untuk membolehkan mereka kembali berdikari.
“Agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi zakat mesti memastikan golongan ini mempunyai barang asas seperti makanan untuk menampung keperluan seisi keluarga.
“Sekiranya kerenah birokrasi menjadi masalah untuk menyampaikan bantuan secara berkesan, prosedur berkenaan harus dipermudah atau dimansuhkan, demi memastikan tidak ada sesiapa yang terpaksa tidur kelaparan,” katanya.
Menyentuh peranan UMNO dalam kerajaan, Johari berkata, apa saja keputusan yang dibuat oleh Ahli Parlimen UMNO akan dipantau dengan teliti oleh rakyat, memandangkan ramai Ahli Parlimen UMNO memegang jawatan penting dalam pengurusan COVID-19.