KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengakui perkembangan terkini susulan tindakan ketenteraan di Asia Barat memberi kesan kepada dagangan dan tahap ekonomi negara.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, antara lain berkata perkembangan sama turut memberikan risiko tinggi, selain berpotensi mengakibatkan dagangan dunia tergendala dan mengalami gangguan.
“Ketika ini, sudah tentu (dagangan negara terganggu), apabila berlaku mana-mana peperangan pasti akan menjejaskan ‘flow trade’ (aliran perdagangan).
“Kadang-kadang bila kapal nak masuk (pelabuhan) tak boleh. Semalam misalnya, berapa banyak penerbangan perlu berpatah balik dan ada tidak boleh diteruskan. Ini antara gangguan kepada ekonomi negara dan dunia.
“Apabila ada sahaja peperangan seperti ini sudah tentu akan menyebabkan risiko tinggi dan dagangan tergendala atau perlu menggunakan laluan lebih jauh berbanding biasa, selain ekonomi akan terjejas jika ia berterusan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian pada sidang media Majlis Sentuhan Ramadan: Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk, Sumbangan Kaca Mata Belia Sekolah dan Majlis Berbuka Puasa di sini, hari ini.
Terdahulu, Johari ketika berucap merasmikan majlis itu, menggesa penyertaan golongan belia, terutama pemimpin mahasiswa di institusi pengajian tinggi dalam program kemasyarakatan, khususnya di Parlimen Titiwangsa, terus diperkasakan.
Beliau berkata, ini bertujuan memupuk nilai murni dan pemahaman mengenai keunikan dan sejarah setempat, sekali gus meminimumkan risiko golongan berkenaan dimanipulasi segelintir pihak yang cuba meraih keuntungan peribadi.
“Saya mahu lebih ramai pembabitan golongan belia dalam program komuniti bagi memupuk lebih kefahaman mengenai sejarah unik di kawasan setempat, terutama di Titiwangsa ini.
“Jika tiada dana untuk anjur program, saya boleh beri tajaan kerana program seperti ini sangat penting supaya mereka boleh faham (isu setempat).
“Melalui pemahaman ini, mereka tidak boleh diracun oleh mana-mana pihak yang mahu mencari keuntungan dengan menggunakan golongan belia untuk buat demonstrasi,” katanya.

