Penggiat industri sawit Malaysia agresif lindungi orang utan

MALAYSIA adalah pengeluar sawit kedua terbesar dunia dengan nilai eksport dan produk berasaskan komoditi itu melebihi RM160 bilion setiap tahun.

Nilai eksport konsisten itu berikutan kesan sebahagian besar kesedaran penggiat industri semakin menitikberatkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi mereka.

Fokus mereka sekarang bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi tanggungjawab terhadap aspek pemuliharaan kian menjadi agenda utama dalam dasar syarikat ladang sawit Malaysia.

Tertubuhnya Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) adalah untuk menyokong dan mendukung usaha ESG ini dari sudut pemuliharaan hutan dan hidupan liar dalam landskap industri sawit negara. Antara tumpuan utama MPOGCF ketika ini ialah segmen pemuliharaan orang utan.

Dalam perancangan 10 tahunnya, MPOGCF sudah memulakan inisiatif pemuliharaan orang utan merangkumi tiga projek utama iaitu Pemulihan Habitat Orang Utan di Hutan Simpan Ulu Segama-Malua di Lahad Datu, Sabah; pembiayaan sebanyak RM1.2 juta bagi tinjauan populasi orang utan di Sabah dan penajaan sebanyak RM1.1 juta bagi menaik taraf pusat pameran orang utan Borneo di Zoo Negara.

Yayasan ini sudah merangka perancangan jangka panjang demi memastikan industri sawit sentiasa berada pada landasannya bagi menyokong agenda negara dari aspek pemuliharaan biodiversiti.

Terkini, MPOGCF mengorak langkah lagi apabila dipertanggungjawabkan menggerakkan program Diplomasi Orang Utan secara ‘in situ’. Idea ini dicetuskan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika merasmikan Hari Orang Utan Sedunia 2024 baru-baru ini.

Bagi tujuan ini, penggiat industri dan pengimport minyak sawit dijemput menaja orang utan secara ‘in situ’ di kawasan Nilai Konservasi Tinggi (HCV) terpilih.

Mengapa orang utan amat dekat dengan MPOGCF? Kerana hidupan liar ini adalah ‘ikon’ serangan pejuang alam sekitar khususnya dari Barat terhadap industri sawit Malaysia.

Menjadi ‘alat’ serangan berkepentingan ekonomi ini, orang utan dijadikan simbol kepada kepupusan seluruh biodiversiti hutan dimusnahkan kononnya semata-mata untuk memberi laluan kepada penanaman sawit.

Serangan atau istilahnya ‘blackwashing’ dalam kalangan penggiat alam sekitar ini hakikatnya adalah gerakan taktikal serampang dua mata iaitu bagi membunuh industri sawit negara, sekali gus memastikan minyak sayuran lain menjadi pilihan utama pengguna seluruh dunia menggantikan minyak sawit.

Usaha industri sawit dan kerajaan Malaysia mempertahankan diri dengan fakta serta data bagi menjawab tuduhan Barat ini digambarkan dengan istilah berkonotasi negatif iaitu ‘greenwashing’.

Pakar orang utan, Dr Marc Ancrenaz dalam artikel terbitan Mongabay.com menegaskan, pertelingkahan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dengan industri sawit tidak boleh berterusan kerana dakwaan mereka tidak semestinya benar serta tidak akan memberikan manfaat kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, semua pemegang taruh perlu bekerjasama mencari penyelesaian.

Penggiat industri ternyata tidak sekadar omong kosong, ini dibuktikan Sawit Kinabalu Sdn Bhd (SKSB), syarikat pengeluar sawit yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Sabah, membelanjakan jutaan ringgit memulihara Kawasan Pemuliharaan Sungai Pin seluar 1,260 hektar terletak dalam estet mereka. Sebanyak 55 orang utan di kawasan HCV berada di estet milik SKSB.

Hakikatnya, ladang sawit bukan musuh orang utan sebaliknya ia menjadi satu daripada kawasan sumber makanan haiwan liar berkenaan.

 

SUMBER: BH ONLINE