KOTA KINABALU: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memberi penerangan terperinci berhubung amalan minyak sawit lestari Malaysia kepada wakil dari Kesatuan Eropah (EU).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya menjangka kedatangan delegasi EU ke Malaysia sekitar September dan Oktober depan.
Menurutnya, ini berikutan EU mengiktiraf Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan pihaknya mahu mereka turut menerima sepenuhnya sistem kemampanan serta kebolehkesanan negara ini.
“Saya menunggu mereka (delegasi EU) untuk datang ke sini (Malaysia) pada September atau Oktober, jadi mereka boleh lihat bagaimana kita melakukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Malaysia International Cocoa Fair (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPK Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM Datuk Dr Ramle Kasin.
Johari berkata demikian sebagai maklum balas terhadap tindakan Suruhanjaya Eropah (EC) memberi penilaian status ‘risiko standard’ kepada Malaysia di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), baru-baru ini.
Media sebelum ini melaporkan EC mengumumkan dan mengesahkan laporan Malaysia diberikan status ‘risiko standard’ di bawah sistem penanda aras negara EUDR.
Manakala negara lain yang merekodkan sebilangan kecil kehilangan dan degradasi hutan termasuk negara anggota EU menerima status ‘risiko rendah’.
Susulan itu, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan meminta penjelasan EC mengenai metodologi penanda aras penuh yang digunakan dalam penilaiannya mengenai status ‘risiko standard’ kepada Malaysia di bawah EUDR.
Sumber: BuletinTV3

