KUALA LUMPUR: Pembangkang mencadangkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Kewangan I, manakala Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Menteri Kewangan II.

Ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mencadangkan dua nama itu bagi mengisi portfolio di Kementerian Kewangan dan berkata, langkah demikian penting bagi memperbetulkan aspek tadbir urus dan bidang kuasa antara Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi.

Cadangan itu dibuat selepas Mohd Syahir Sulaiman (PN-Bachok) dan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) membangkitkan isu pelantikan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dipegang oleh individu sama.

“Tuan Yang Dipertua (Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul), masukkan pencelahan (Ahli Parlimen) Titiwangsa dalam ucapan saya bahawa Titiwangsa jadi Menteri Kewangan I.

“Saya minta maaf, (Ahli Parlimen) Pontian, saya tarik baliklah cadangan saya kepada Pontian (dilantik sebagai Menteri Kewangan I) ataupun Pontian boleh jadi Menteri Kewangan Kedualah,” katanya ketika membahas usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, ketika mencelah perbahasan Hamzah mengenai siapa yang patut dilantik sebagai Menteri Kewangan I, Johari berkata beliau mahu nombor satu dan bukannya dua, merujuk kepada jawatan Menteri Kewangan I.

Johari pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan II di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Radzi ketika mencelah perbahasan ketua pembangkang, beliau berkata mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan cabaran dunia sehingga memberi kesan terhadap kejatuhan eksport negara serta mengakibatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyederhana, Malaysia memerlukan seorang menteri kewangan yang dapat memberi tumpuan sepenuh masa.

Menurut bekas Menteri Pendidikan itu, jika ikutkan kelaziman sebelum ini, Perdana Menteri yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan akan mempunyai seorang lagi Menteri Kewangan II.

Selain Johari, antara yang pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan II adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Bila Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan maka akan ada sekurang-kurangnya ada Menteri Kewangan II kerana urusan di kementerian berkenaan cukup banyak, yang memerlukan tumpuan sepenuhnya.

“Jadi ketua pembangkang, saya rasa mungkin boleh cadangkan kepada Perdana Menteri…boleh lantiklah Menteri Kewangan II atau berilah tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan ini kepada orang lain.

“Kalau Perdana Menteri nak pusing mana pun dalam Malaysia, nak pusing dunia, nak jumpa pelakon, penyanyi ke apa, boleh buat. Janji urusan berkaitan kewangan negara dan ekonomi negara diberikan tumpuan sepenuhnya,” katanya.

Mohd Syahir pula berkata, ramai yang layak untuk dilantik sebagai Menteri Kewangan termasuk Johari dan Ahli Parlimen Semberong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata tidak memadai untuk mempunyai dua orang timbalan menteri kewangan kerana kedua-duanya tidak boleh menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya nak tambah cadangan (Ahli Parlimen) Putrajaya, ramai yang layak dalam dewan ini. Titiwangsa boleh, Semberong boleh. Di Sabah dan Sarawak pun ramai. Jadi mengapa? Tak susah pun. Lantik saja Menteri Kewangan II kerana hanya menteri yang boleh masuk mesyuarat Kabinet.

“Kalau timbalan menteri seorang dua, tak boleh masuk mesyuarat Kabinet. Jadi sebagai CEO (ketua pegawai eksekutif), dia kena tanya CFO (Ketua Pegawai Kewangan) di sebelah. Nak tanya macam mana kalau kedua-dua ialah CEO yang juga CFO,” katanya.