KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad (Media Prima) menafikan dakwaan pelantikan Farrah Naz Karim sebagai Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) yang baharu disebabkan campur tangan politik.
Menegaskan dakwaan campur tangan itu sebagai sesuatu yang tidak berasas sama sekali, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata syarikat tidak dimiliki dan tidak melapor kepada mana-mana parti politik.
“Berikutan laporan dan khabar angin yang tersebar luas di portal berita dan media sosial mengenai rombakan kepada kakitangan kanan editorial di NST, saya selaku pengerusi Media Prima perlu memberikan penjelasan yang diperlukan.
“Saya ingin menafikan secara mutlak sebarang pandangan, sama ada kerajaan atau mana-mana parti politik terbabit dalam perkara ini atau sebarang keputusan lain yang diambil Media Prima berkaitan dengannya,” katanya.
Beliau berkata Media Prima amat berbangga menjadi pemilik NST iaitu sebuah jenama dalam arena kewartawanan di Malaysia.
“Selama 177 tahun, NST telah terbabit melaporkan setiap peristiwa utama negara dan dunia yang penting kepada rakyat Malaysia.
“Ketika kita bersiap untuk menyambut Hari Malaysia ke-59, kami dengan bangga boleh mengatakan bahawa Media Prima setia melaporkan sejarah negara, pelbagai kejayaannya di samping berkongsi detik-detik kesedihan dan kesusahan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan sangat mencabar bagi perniagaan media.
Beliau berkata, trend pengguna yang sentiasa berubah, kemajuan teknologi dan keupayaan digital baharu sentiasa menuntut Media Prima untuk merombak strategi, dengan meninggalkan amalan lama, melaksanakan langkah baharu yang radikal dengan menyesuaikannya dengan yang sedia ada untuk memenuhi keperluan semasa dan masa depan.
Sebagai sebuah organisasi berita, katanya, bagi menumpukan kepada hala tuju editorial dan mengejar sinergi untuk meningkatkan produk akhir, ia akan sentiasa terdedah kepada semakan semula oleh pihak pengurusan di bawah Lembaga Pengarah syarikat.
Semakan semula itu bertujuan mengembangkan jenama dan jumlah pembaca NST, dengan harapan ia menjadi pemangkin pertumbuhan dan keuntungan yang berterusan, katanya.
Justeru, katanya perubahan kepada kakitangan, terutamanya pada eksekutif pengurusan tertinggi syarikat adalah perkara yang tidak dapat dielakkan dalam semakan itu.
“Pelantikan itu sentiasa dilakukan semata-mata berdasarkan merit,” katanya.
Beliau berkata, atas dasar itulah pihak pengurusan telah melantik Farrah Naz, yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam operasi bilik berita, sebagai Pengarang Kumpulan NST yang baharu.
“Beliau juga telah memecahkan monopoli 35 tahun yang dipegang akhbar harian berbahasa Melayu ketika memenangi Anugerah Kajai yang berprestij, menjadi wartawan pertama dari akhbar berbahasa Inggeris yang mencapai kejayaan itu.
“Tugasnya bersama TV3 juga dijangka merapatkan jurang cetak dan digital, yang menjadi strategi utama dalam langkah NST untuk memasuki era media baharu,” katanya.
Syed Hussian berkata, Media Prima tidak dimiliki atau melapor kepada mana-mana parti politik seperti didakwa dalam laporan berita baru-baru ini.
Beliau berkata pemegang saham utamanya yang juga seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, mempunyai rekod prestasi yang luar biasa dalam memulihkan perniagaan yang bermasalah.
Media Prima telah mencatatkan keuntungan bagi lapan suku berturut-turut, satu pencapaian yang mengejutkan berikutan keadaan kewangannya yang teruk, hampir tiga tahun lalu.
Katanya, pada masa ini, tiga penerbitan utama Media Prima iaitu NST, Berita Harian, dan Harian Metro, memberi tumpuan untuk meningkatkan platform digital masing-masing bagi melengkapkan versi cetakan semasa.
“Harian Metro dan Berita Harian juga adalah dua saluran berita digital terkemuka di negara ini dan Media Prima komited untuk membawa NST setanding dengan kedua-dua akhbar berkenaan,” katanya.
Beliau berkata Media Prima berharap rombakan editorial dan perkembangan pemberitaan digital itu akan membolehkan syarikat menyediakan produk media yang lebih menarik kepada orang ramai.
DATUK SERI (DR) SYED HUSSAIN ALJUNID
Group Chairman
Media Prima Berhad
Sumber : BERITA HARIAN