KUALA LUMPUR: Ahli dan kepemimpinan UMNO di pelbagai peringkat perlu memupuk mentaliti untuk menang dalam memastikan parti mampu kembali ke landasan tepat, sekurang-kurangnya menjelang 2027.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia perlu disusuli penyusunan strategi untuk memulihkan sokongan terhadap parti terutama dalam tempoh kurang lima tahun dari sekarang.

Ini kerana, katanya, UMNO memiliki infrastruktur terbesar dalam arena politik tanah air membabitkan 191 bahagian, 3.5 juta ahli dan 21,000 cawangan, berbanding parti lain termasuklah DAP, PAS serta PKR.

Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu menegaskan, komitmen berkenaan tidak mustahil untuk dicapai jika semua pihak memupuk mentaliti untuk menang dan perlu sayang kepada parti.