KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan, sudah tiba masanya kerajaan melihat kepada kemampanan Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai entiti perniagaan.
Hal itu setelah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia memaklumkan bahawa kadar penyesuaian rangkaian 5G hanya merekodkan 74 peratus walaupun liputan 5G telah mencapai 70.2 peratus.
Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, kerajaan telah memberi jaminan kepada hampir berbilion ringgit untuk menjamin pinjaman dibuat oleh DNB.
“Oleh itu, dengan pelaburan yang begitu tinggi oleh DNB, saya jangka tiba masanya kerajaan melihat kemampanan DNB sebagai entiti perniagaan.
“Persoalannya, dalam keadaan tidak menentu ini oleh kerana penyesuaian kadarnya yang terlalu rendah kemudian komitmen kewangan yang dijamin kerajaan, adakah kerajaan merasa perlu untuk membuka perkhidmatan 5G kepada syarikat kedua?
“Sedangkan yang kita ada hari ini pun mengambil yang lama untuk menjadi entiti yang mampan kepada syarikat ini,” soalnya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, meskipun kadar penyesuaian rendah, namun masih banyak negara termasuk republik Korea berada di tahap penembusan liputan 5G melebihi 95 peratus.
“Kadar penyesuaian memang rendah, tetapi fokus memberi liputan 5G ialah enterprise dan sebelum ini kerajaan telah melancarkan private local network 5G pertama di Malaysia yang akan diguna oleh Petronas.
“Ini adalah satu daripada perkara paling penting yang mana kemampuan 5G dapat dimaksimumkan oleh syarikat-syarikat enterprise dan inilah yang menjadi pengimbang kepada kemampanan,” katanya. – UTUSAN
Sumber : UTUSAN MALAYSIA