KUALA LUMPUR: Hasrat untuk memaparkan nama-nama Ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ sidang Parlimen di laman web Dewan Rakyat perlu diperjelaskan kaedahnya oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata beliau bersetuju untuk Dewan Rakyat berbuat demikian, namun langkah pelaksanaannya perlu dijelaskan.
Ini kerana, katanya, jika ahli Parlimen itu di pihak kerajaan sudah pasti ada bertaraf menteri ataupun timbalan menteri yang tentunya mempunyai banyak urusan menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk hadir di Dewan Rakyat.
“Saya setuju mengenai perkara itu, tetapi sebenarnya bila kita mahu siarkan nama siapa yang ponteng itu perlu ada tatacara atau alasan yang munasabah.
“Apa yang paling penting ialah kita memerlukan menteri dan timbalannya berada dalam sidang Dewan Rakyat.
“Namun, dengan tugas eksekutif Ahli Parlimen berkenaan, mereka mungkin tidak berpeluang untuk hadir ke Parlimen pada sebelah pagi. Tetapi setakat ini, apa yang saya lihat ialah mereka dapat hadir ke Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.
Ditanya lebih lanjut sama ada cadangan itu ditujukan kepada pembangkang, Johari berkata, ia bertujuan untuk kedua-dua pihak di Dewan Rakyat.
“Speaker Dewan Rakyat perlu menjaga kedua-dua belah pihak sama ada pembangkang atau kerajaan.
“Saya fikir adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Parlimen untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat. Tetapi jika ada apa-apa tugas pada hari itu, mereka perlu memaklumkan kepada Speaker.
“Ahli Parlimen perlu memaklumkan ketidakhadiran mereka sama ada mereka ke luar negara atau apa-apa urusan penting membabitkan urusan negara,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perkara itu antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen yang diwakili.
Sumber : BERITA HARIAN