Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Negara `hilang’ RM2.3b nilai KDNK akibat kekurangan pekerja industri getah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 420,000 hektar ladang pekebun kecil getah di negara ini tidak diusahakan berikutan kekurangan pekerja dalam sektor terbabit, sekaligus menyebabkan negara ‘kehilangan’ sebanyak RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata walaupun Malaysia mempunyai ladang getah termasuk pokok dalam keadaan baik, tetapi pengusaha dan pekebun tidak dapat mengeluarkan hasil kerana berdepan masalah kekurangan pekerja.

Katanya, atas dasar itu, pihaknya bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang merangka pelan bagi membantu pekebun kecil getah secara berperingkat dan membina sebuah ekosistem yang lebih baik bagi sektor berkenaan untuk menangani cabaran terbabit.

“Hampir 585,000 metrik tan susu getah setahun boleh diperolehi dari keluasan tanah yang tidak ditoreh itu dengan nilai KDNK RM2.3 billion.

“Jika kuantiti 585,000 metrik tan ini diolah sebagai bahan produk getah hiliran pula, ia ia boleh mendapatkan nilai tambah mencecah RM8.8 bilion.

“Industri getah mempunyai potensi yang besar untuk berkembang dalam aktiviti produk hiliran dan berpotensi untuk mengeksport ke negara luar tetapi inilah cabaran yang dihadapi oleh industri getah secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa mengadakan lawatan kerja di LGM yang turut dihadiri Pengerusi LGM, Datuk Zurinah Pawanteh dan Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Isu membabitkan 420,000 hektar ladang pekebun kecil yang tidak ditoreh antara banyak perkara yang dibincangkan melalui pertemuan terbabit.

Pada masa sama, Johari berkata, Malaysia adalah satu daripada negara yang memproses produk membabitkan getah, antaranya tayar bagi sektor automotif, wayar bertebat, kabel konduktor (sektor semikonduktor), sarung tangan, kasut, tiub, paip dan hos.

Katanya, namun disebabkan aktiviti penorehan getah tidak dijalankan, ia memberi kesan kepada hasil pengeluaran getah bagi mendapatkan getah sekerap atau penghasilan susu getah.

“Malah Malaysia juga terpaksa mengimport getah sekerap serta lateks dari negara luar bagi memproses permintaan kilang di Malaysia yang menghasilkan produk getah, walaupun negara mempunyai jumlah pokok yang mencukupi,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

Previous Teknologi Antara Pemangkin Utama Tingkatkan Industri Komoditi Negara

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.