MTIB akan batal lesen eksport produk kayu jika syarikat gagal patuh syarat – Johari Ghani

KUALA LUMPUR: Syarikat yang dikesan gagal mematuhi syarat eksport bagi produk kayu negara akan dibatalkan lesen eksport oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ketika ini ada syarikat dikesan memanipulasi produk eksport mereka, dengan menghantar semula produk import siap ke luar negara.

“Ada (kes sebelum ini). Kalau MTIB dapat tangkap, memang tak lagi dibenarkan eksport.

“Ini maknanya dia manipulasi (produk kayu untuk tujuan eksport) dan (perbuatan) ini tak boleh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi MTIB dan Pelancaran Buku Anatomi dan Pencegahan Kayu Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MTIB, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Ketika ini, MTIB mengeluarkan permit eksport kepada mana-mana syarikat yang mahu mengeksport produk berasaskan perkayuan ke luar negara, dengan tempoh permit bagi satu-satu penghantaran eksport selama 60 hari atau kira-kira dua bulan.

Mengulas lanjut, Johari berkata, ketika ini pemain industri hanya dibenarkan mengimport input atau bahan mentah, sebelum ia diproses untuk menghasilkan produk perkayuan termasuk perabot.

“Saya beritahu pemain industri, mereka kalau mahu eksport kayu kayan kita walaupun sebahagian material (bahan mentah) itu diimport daripada luar (negara), tetapi hanya sebagai input (barang mentah) dan bukan sebagai produk siap.

“Sebab kalau kita mahu eksport ke luar negara, kita perlu ada nilai tambah sekurang-sekurangnya 60 peratus. Dia tak boleh ambil barang sudah siap, masuk dalam kontena dan tukar persijilan, selepas itu eksport (semula) kepada orang luar, tak boleh,” katanya.

Pada masa sama, Johari berkata, kualiti produk eksport perkayuan negara perlu ditingkatkan, bagi menjamin permintaan terhadap produk berkenaan, sungguhpun berdepan pelbagai cabaran pasaran termasuk kesan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS).

“Dunia hari ini mahu produk yang dieksport dari negara kita adalah produk berkualiti tinggi. Maka kita, walau macam mana pun tarif ada, kita tetap boleh eksport produk kerana industri ini, tahun lalu dia eksport RM22.9 bilion.

“AS adalah pasaran utama kita. Bila kena tarif akan datang, dalam pasaran produk ini, ya.. harga itu satu perkara (dinilai pengguna), tetapi kalau kita ada kualiti produk yang bagus, orang akan sanggup beli.

“Kalau kita boleh keluarkan produk-produk perabot dengan ‘design’ yang bagus, unik dan kualiti bagus, mereka akan bayar pada harga yang mereka boleh terima,” katanya.

Industri kayu negara terus menunjukkan pertumbuhan positif, apabila eksport produk kayu negara mencecah RM22.9 bilion tahun lalu, meningkat 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara sehingga November lalu, sebanyak 830 syarikat Bumiputera sudah berdaftar dengan industri perkayuan dan daripada jumlah itu, sebanyak 20 syarikat berjaya menembusi pasaran eksport.

 

SUMBER: Berita Harian