MPOB hasilkan 11 teknologi baharu sawit untuk dikomersial tahun ini

MPOB TOT 2025_JohariAbdulGhani_YusrinuddinAbdKarim

BANGI: Sebanyak 11 teknologi baharu hasil penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ditawarkan untuk pengkomersialan tahun ini menerusi Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT) 2025 yang dijangka mampu membuka lebih banyak peluang niaga kepada syarikat tempatan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata teknologi ini merangkumi pelbagai bidang termasuk bioteknologi, perlindungan tumbuhan, teknologi mekanisasi dan automasi, oleokimia dan produk bukan makanan serta produk makanan dan makanan ternakan.

Beliau berkata, MPOB akan menerokai penyelidikan untuk menghasilkan produk-produk mesra alam berasaskan sawit yang dapat menggantikan produk asal yang tidak bersifat mampan.

“Minyak penebat transformer berasaskan sawit sedang dipertimbangkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk menggantikan minyak transformer berasaskan petroleum di rantaian pencawang elektrik negara.

Minyak transformer berasaskan sawit mempunyai potensi pasaran yang menjangkau nilai pasaran sebanyak AS$287 juta menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran TOT MPOB 2025, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Johari melancarkan formulasi baja sawit MPOB F6 serta produk biskut berkhasiat yang diperkaya dengan minyak sawit merah hasil penyelidikan MPOB.

Pada majlis sama, beliau juga menyaksikan pertukaran tiga dokumen perjanjian memorandum persefahaman (MoA) bersama rakan-rakan kerjasama strategik bagi tujuan pelesenan dan pengkomersialan teknologi Formulasi Pelet Makanan Lembu, Endophytic Streptomyces Spp. Endo88 as Preventive and Biocontrol Product to Control Ganoderma, serta lipstik berasaskan sawit.

Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata, pada setiap tahun melalui penganjuran Program TOT, MPOB memperkenalkan teknologi dan inovasi baharu untuk pengkomersialan.

Katanya, usaha MPOB ini selari dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti melalui peningkatan hasil dan bukan perluasan kawasan tanaman.

“Antara teknologi dan inovasi yang diperkenalkan termasuk penghasilan baka sawit berkualiti, teknik baharu untuk membantu dalam proses penanaman semula dan kawalan penyakit seperti Ganoderma.

Sementara itu, Johari berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengalu-alukan penyelidik dan usahawan luar untuk mengemukakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) masing-masing bagi dikomersialkan, dengan sokongan dan pengesahan daripada MPOB.

Beliau berkata, walaupun MPOB terus melaksanakan R&D sendiri, potensi besar yang dibangunkan oleh pemain luar tidak boleh diabaikan, terutamanya mereka yang sudah melaburkan dana sendiri.

“Kalau mereka sudah buat sampai 70 peratus, MPOB boleh bantu lengkapkan 30 peratus lagi untuk pastikan teknologi itu bersedia untuk dikomersilakan.

“Dengan sokongan MPOB, keyakinan pasaran juga lebih tinggi. Maka kedua-dua pihak akan dapat manfaat, termasuk dari segi royalti,” katanya.

 

SUMBER: Berita Harian