Kepimpinan yang anda boleh percayai
YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani merupakan anak jati Kuala Lumpur. Lahir dan dibesarkan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mendapat Pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Pandan atau kini dikenali sebagai SK Tun Hussein Onn, sebelum menyambung pelajaran peringkat menengah di SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.
Beliau meneruskan pengajian peringkat Diploma dalam jurusan Perakaunan di Institut Teknologi MARA (ITM), Shah Alam dari tahun 1982 hingga 1985. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam jurusan yang sama di United Kingdom dan berjaya memperoleh kelulusan ‘Chartered Association of Certified Accountants’ pada tahun 1988 dan ditauliahkan sebagai ’Fellowship of the Chartered Association of Certified Accountants’ pada tahun 1993.
Misi kami untuk menjadikan Titiwangsa sebuah kawasan yang maju
Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Ahli Parlimen Titiwangsa
Garis Masa
Garis masa kehidupan Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani sehingga kini.
2025 – Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI)
16 Disember 2025: Pada 16 Disember 2025 lalu, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah melantik YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz yang tamat tempoh lantikan Senator di dalam rombakan kecil Kabinet Kerajaan MADANI sehingga PRU-16 akan datang.
2023 – Menteri Kementerian Perladangan dan Komoditi
12 Disember 2023: Rombakan Kabinet Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri ke 10, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah melantik YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri di Kementerian Perladangan dan Komoditi.
PAU 2023: Naib Presiden UMNO Malaysia & Bendahari Barisan Nasional
20 March 2023: YB Datuk Seri Johari Ghani meraih 110 undi daripada 189 Bahagian UMNO yang telah bersidang, undian ketiga terbanyak selepas Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Diantara calon lain yang bertanding jawatan Naib Presiden UMNO adalah Datuk Seri Azalina Othman, Datuk Seri Mahdthir Khalid, Datuk Sri Reezal Merican dan Datuk Ir. Hj Hasni Mohammad. Pada 28 April 2023, Barisan Nasional (BN) telah melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Bendahari parti itu bagi menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Pelantikan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
2022 – PRU15 : Kembali Berkhidmat Untuk Rakyat
Pada 19 Nov 2022, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Titiwangsa daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 4,632 undi selepas meraih 25,042 undi pada PRU-15. Ia sekali gus menewaskan pencabarnya, Khalid Abdul Samad dari Pakatan Harapan (PH) yang meraih 20,410 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam (14,518) serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) meraih 888 undi.
2020 – Bantuan #TerusBerbakti
Walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat selepas PRU-14, beliau tetap meneruskan kerja-kerja amal dengan membantu masyarakat didalam kawasan Parlimen Titiwangsa dengan Program Sumbangan #TerusBerbakti dikala masyarakat berdepan dengan bencana pendemik COVID-19 sejak tahun 2020 melalui Yayasan Bena Nusa.
PRU 13: Khidmat Untuk Negara
Pada Mei 2013 beliau menjadi calon Barisan nasional dan memenangi pilihan raya bagi kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU ke-13. Pada Jun tahun yang sama beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa. Selama 2 tahun beliau menjadi backbencher di Parlimen, pada Julai 2015 beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan 11 bulan selepas itu, beliau dilantik menganggotai Jemaah Menteri sebagai Menteri Kewangan ke-2 sehingga 2018.
