KOTA BHARU: Malaysia perlu meneroka pasaran baharu di negara yang berpotensi dan bebas perang bagi mengeksport komoditi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ini berikutan peperangan menyebabkan kapal perdagangan gagal memasuki atau menghampiri kawasan konflik, sekali gus menyebabkan sedikit sebanyak akan menjejaskan eksport komoditi negara.
“Kalau hantar (eksport) sekalipun mungkin insurans akan bertambah tinggi dan kos akan dikenakan kepada pembeli. Sewa kontena juga akan meningkat sehingga tiga atau empat kali ganda.
“Jadi itu secara tidak langsung akan menyebabkan produk kita terjejas daripada sudut permintaan. Namun, tidaklah teruk kerana ia tidak membabitkan kawasan yang bebas peperangan.
“Sedikit sebanyak itulah kos yang akan terkena kepada pembeli dan kita sebagai pengeksport,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog KPK bersama Kolej Poly-Tech Mara Kota Bharu anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Pengarah LKTN, Wan Baharuddin Wan Ismail.
Ujar Johari lagi, produk komoditi perlu dieksport dan kalau permintaan berkurang sedikit, maka harga akan jatuh dan kuranglah sedikit keuntungan kepada industri.
“Jadi dalam konteks ekonomi, kita memang tidak suka perang kerana ia akan beri masalah.
“Langkahnya ialah membuka dan meneroka pasaran di negara baharu yang belum pernah guna produk atau guna sedikit sebelum ini, sebab kita tidak boleh bergantung kepada satu-satu pasaran.
“Sekarang ini kita berdagang dengan hampir 80 negara dengan nilai eksport RM186 bilion termasuk RM120 bilion kelapa sawit bagi satu tahun. Jadi kita kena cari pasaran di negara baharu atau negara yang tiada peperangan supaya mereka boleh beli lebih daripada kita,” katanya.
SUMBER: Buletin TV3

