Kuala Lumpur: Malaysia dan Kenya membuka lembaran baharu dalam hubungan perdagangan dua hala apabila kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor perladangan, khususnya membabitkan eksport minyak sawit Malaysia ke rantau Afrika Timur.
Pertemuan rasmi antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Kenya, Lee Kinyanjui bersama delegasi Malaysia yang diketuai Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyaksikan beberapa cadangan strategik diketengahkan termasuk pembukaan pusat pemprosesan minyak sawit Malaysia di Mombasa Industrial Park, Kenya.
Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam kenyataan berkata, perbincangan itu turut menyentuh potensi perluasan pasaran sawit Malaysia ke negara-negara sekitar Afrika Timur seperti Uganda, Tanzania dan beberapa negara jiran lain yang kini menunjukkan permintaan memberangsangkan terhadap komoditi utama negara itu.
“Pada tahun 2024, minyak sawit dan produk berasaskan sawit menyumbang hampir 95 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke Kenya dengan nilai mencecah RM5.2 bilion.
“Ini membuktikan potensi besar minyak sawit di pasaran rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Hadir sama dalam pertemuan berkenaan adalah Duta Besar Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohammad; Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi), Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Razali Mohammad serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Sron.
Katanya, kerajaan Kenya turut menyuarakan minat untuk menjadikan Mombasa sebagai hab pemprosesan minyak sawit serantau yang bukan sahaja meningkatkan dagangan, malah berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan buat rakyat tempatan.
Sumber: Metro

