Malaysia kekal 5 pengisar koko terbaik dunia

Malaysia kekal 5 pengisar koko terbaik dunia

Kota Kinabalu: Malaysia mengekalkan kedudukan dalam senarai lima negara pengisar koko terbaik dunia, kata Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Katanya, Malaysia kini mengisar sekitar 370,000 tan biji koko setiap tahun disamping mempunyai banyak jenama produk koko terkenal.

“Eksport juga menunjukkan trend meningkat dengan jumlah eksport koko dan produk koko meningkat sebanyak 29 peratus daripada 530,000 tan pada 2023 kepada sekitar 690,000 tan pada 2024 dengan nilai sebanyak RM15 bilion.

“Ini adalah bukti komitmen Malaysia terhadap pengeluaran dan inovasi dengan nilai tambah yang tinggi,” katanya ketika berucap dalam perasmian Malaysia International Cocoa Fair (MICF) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPK, Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Dr Ramle Kasin.

Johari berkata, pihaknya menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited untuk menggiatkan semula penanaman koko bagi merangsang kawasan tanaman dan meningkatkan pengeluaran koko.

Katanya, pihaknya menyedari isu kekurangan biji koko di peringkat global dan pada masa sama turut melihat banyak peluang yang mampu meningkatkan pendapatan peladang koko.

“Usaha ini sedang dijalankan dan kami menyeru peladang, pelabur dan koperasi untuk menjadi sebahagian daripada usaha nasional ini.

“Kerajaan sudah melaksanakan program bagi meningkatkan pendapatan untuk peladang koko dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seperti program kluster koko dan penubuhan koperasi bagi memudahkan peluang ekonomi kepada pekebun kecil.

“Disamping itu, kerajaan menerusi LKM memainkan peranan penting dalam memajukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) koko bagi meningkatkan daya saing.

“Pusat penyelidikan dan pembangunan koko di bawah LKM memberi pengkhususan dalam penanaman koko dan proses selepas penuaian, pembiakan dan pengurusan serangga perosak serta kawalan kualiti dan pembangunan produk,” katanya.

Sumber: Metro