KUALA LUMPUR: Semua majikan termasuk sektor perladangan dan komoditi diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang akan dilaksanakan Februari tahun hadapan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata gaji minimum berkenaan bagaimanapun perlu diberikan setimpal dengan kelayakan taraf pendidikan dan kemahiran pekerja berkenaan.
“Jadi isu itu tidak berbangkit, cuma kita mahu tekankan bahawa syarikat-syarikat jangan mengambil kesempatan dengan gaji minimum berkenaan.
“RM1,700 adalah gaji minimum tetapi kebanyakan daripada pekerja-pekerja ini mereka sememangnya sudah mempunyai gaji melebihi daripada paras gaji berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Program Sumbangan Lesen Memandu B2 Parlimen Titiwangsa, di Dewan Serbaguna PPR Ampang Hilir, di sini hari ini.
Johari berkata, sebagai contoh dalam sektor perladangan sudah ramai daripada pekerja-pekerja tempatan mendapat gaji lebih daripada gaji minimum yang telah ditetapkan.
“Majikan pula mendapat pengecualian bahawa untuk enam bulan pertama syarikat yang menggajikan lima orang ke bawah, mereka diberi masa untuk menyesuaikan gaji minimum berkenaan.
“Bagaimana kita perlu terima hakikat bahawa kos sara hidup ketika ini semakin meningkat. Ada perkara kerajaan boleh tampung dan ada perkara yang kerajaan memerlukan kerjasama daripada majikan-majikan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengumumkan Belanjawan 2025, berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Anwar berkata, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
SUMBER: BERITA HARIAN

