KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sudah sampai masanya untuk kerajaan melihat kepada kemampanan pengendali rangkaian 5G iaitu Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai satu entiti perniagaan.
Beliau berkata, ia mengambil kira kerajaan sudah memberi jaminan kepada pinjaman yang dibuat DNB, yang difahamkan mencecah hampir berbilion ringgit.
“Dalam keadaan tidak menentu ini, dengan kadar penembusan 5G yang terlalu rendah iaitu 7.4 peratus, kemudian komitmen kewangan yang begitu tinggi dijamin oleh kerajaan, adakah perlu untuk membuka perkhidmatan 5G kepada syarikat kedua sedangkan yang kita ada masa ini saya rasa mengambil masa begitu lama untuk menjadi entiti yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengemukakan soalan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa 5G di Malaysia adalah terpantas jika dibandingkan dengan 4G sebelum ini.
“Dari segi perbandingan syarikat ke syarikat, saya dimaklumkan sebelum ini untuk pelaksanaan 4G yang paling pantas adalah U Mobile dengan 2,000 menara setahun, manakala DNB mencecah 3,500 lebih setahun dan dijangka 3,500 lagi tahun ini.
“Kerajaan melihat kepada banyak negara, termasuk Korea Selatan, di mana kadar penembusan 5G sudah mencecah lebih 95 peratus, manakala dalam kalangan pengguna runcit masih rendah iaitu tidak lebih 50 peratus.
“Bagaimanapun, fokus 5G adalah perusahaan dan pada Khamis lalu, rangkaian tempatan persendirian 5G pertama dilancarkan di Malaysia, yang akan digunakan PETRONAS.
“Ini adalah satu perkara paling penting kerana kemampuan 5G akan dapat dimaksimumkan oleh syarikat perusahaan dan inilah yang menjadi pengimbangan kepada kemampanan itu,” katanya.
Menjawab soalan asal Johari mengenai status pembangunan rangkaian 5G setakat ini dan jumlah langganan perkhidmatan 5G, Fahmi memaklumkan, sehingga 30 September lalu, sebanyak 5,873 tapak 5G siap dibangunkan, dengan perkhidmatan itu kini sudah mencapai 70.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
“Bagi langganan perkhidmatan 5G pula, sebanyak 2.49 juta langganan direkodkan, bersamaan 7.4 peratus kadar penembusan.
“Sehingga kini, enam syarikat pemberi perkhidmatan mudah alih menawarkan pelan komersial 5G iaitu CelcomDigi, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia, YTL Communications, dan Yodoo,” katanya.
Source : BERITA HARIAN