LGM diarah tingkatkan pengeluaran getah, usahakan ladang terbiar

BALING: Kerajaan berhasrat meningkatkan penghasilan getah dalam negara bagi memenuhi keperluan industri tempatan, sekaligus mengurangkan import getah yang mencecah RM6 bilion ringgit.

Menteri Komoditi dan Perladangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hasrat itu mampu dicapai dengan mengoptimumkan 1.1 juta hektar ladang getah di seluruh negara.

“Malaysia pernah menjadi pengeluar getah terbesar dunia dengan menghasilkan 1 juta metric tan getah, tetapi sekarang hanya 380 ribu metric tan dikeluarkan.

“Jadi negara terpaksa mengimport getah untuk menampung keperluan dalam negara dengan nilai RM6 bilion.

“Di negara terdapat 1.1 juta hektar ladang getah tetapi 420 ribu hektar daripadanya berada dalam keadaan terbiar.

“Sehubungan itu, kita mahu ladang getah terbiar ini ditoreh semula untuk meningkatkan penghasilan getah,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Getah Asil Mampan Malaysia (MSNR) di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Lebih 500 pekebun kecil, penggiat industri, wakil agensi dan kementerian hadir pada majlis ini.

Tambah Datuk Seri Johari, beliau telah mengarahkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk bertemu dengan pekebun dan peladang yang memiliki ladang getah terbiar bagi memulakan semula penorehan.

Jelasnya, Kementerian Komoditi dan Perladangan (KPK) dan LGM akan mencari jalan untuk mengusahakan semula ladang getah terbiar dengan persetujuan mereka.

“Apabila kita tanya, mereka memberi alasan terlalu uzur untuk menoreh, kos tinggi untuk menjaga ladang dan harga getah murah.

“Kalau mereka setuju untuk kerjasama dengan kita, kita akan mengupah pekerja untuk menoreh pokok getah di ladang mereka untuk
meningkatkan hasil dan mereka akan menerima sebahagian keuntungan.

“LGM juga akan bekerjasama dengan RISDA untuk mencapai objektif ini,” ujarnya.

Ketika ini, jumlah nilai produk getah Malaysia ke Kesatuan Eropah adalah sebanyak 16% dengan nilai RM3.2 bilion ringgit.

Justeru, KPK dan LGM komited untuk memastikan industri getah negara dapat mematuhi keperluan antarabangsa dalam aspek kemampanan.

 
SUMBER: TV3