Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera kumpul maklum balas pemegang taruh

KUALA LUMPUR: Penganjuran Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera menjadi platform mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh termasuk dalam kalangan pemimpin Melayu dan Bumiputera dalam UMNO terhadap cadangan kerajaan mengadakan Kongres Ekonomi Bumiputera, Januari tahun depan.

Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang dilantik sebagai penganjur kolokium, berkata pertemuan sebagai proses libat urus akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan.

Beliau berkata pertemuan itu dijadual selewat-lewatnya sebelum hujung bulan depan.

Katanya, selepas itu maklum balas atau rumusan akan diangkat kepada Pengerusi Bersama Kongres yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebagai mewakili Kerajaan Persekutuan.

“Ia bersifat lebih kepada libat urus sebelum resolusi kongres dimuktamadkan. Oleh itu, pertemuan akan diadakan selewat-lewatnya sebelum hujung November ini.

“Ia supaya segala maklum balas atau rumusan dapat dihantar kepada pengerusi kongres untuk diolah oleh pihak kerajaan dalam membentuk dasar kerajaan, untuk menjaga kepentingan Melayu serta Bumiputera,” katanya hari ini.

Mengenai fokus kolokium, bekas Menteri Kewangan II itu berkata ia bakal menumpukan soal dasar mengenai ekonomi negara yang berkaitan dengan Bumiputera serta perkara lain yang bersangkutan dengan kumpulan terbabit.

Beliau berkata pihaknya juga ingin melihat semula peranan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi kerajaan yang terbabit dalam menjaga kepentingan Bumiputera, sama ada mereka masih relevan atau sudah tersasar daripada matlamat asal semasa diwujudkan awal dulu.

“Ia turut termasuk bagi melihat sejauh mana peranan golongan profesional Melayu dan Bumiputera untuk meningkatkan kepentingan kumpulan itu dalam setiap aspek pembangunan negara menjangkau tahun-tahun mendatang,” katanya.

Pelantikan Johari yang juga Naib Presiden UMNO sebagai penganjur Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera diumumkan Setiausaha Agung parti, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam.

Melalui kolokium ini, Asyraf Wajdi berkata Johari akan menggembleng kepemimpinan UMNO semua peringkat di seluruh negara bagi mendapatkan dapatan, maklum balas dan sumbang saran.

Sumber : BERITA HARIAN

Previous Johari Ghani dilantik penganjur Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.