Kerjasama dengan masyarakat berbilang kaum ciri penting pilih pemimpin – Johari Ghani

IDOR: Mampu bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum adalah ciri penting untuk memilih pemimpin bagi menerajui negara ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu mengambil kira komposisi masyarakat majmuk dengan ragam yang pelbagai.

Mengambil contoh kepelbagaian etnik di Sarawak, Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, wilayah itu wajar menjadi teladan memandangkan komposisi masyarakatnya yang lebih kompleks berbanding di Semenanjung.

“Politik di Sarawak begitu stabil sedangkan wilayah berkenaan memiliki kepelbagaian etnik yang lebih kompleks berbanding kita (Semenanjung).

“Pelbagai kaum di sana (Sarawak) dan masing-masing Bumiputera, tetapi mereka boleh jaga wilayah itu dengan baik dan membangunkan ekonomi dengan bagus.

“Ini antara contoh negeri yang perlu dipelajari,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Johari mengadakan pertemuan bersama jentera Barisan Nasional (BN) dan masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rahmat serta Jeram Mengkuang sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, Abdul Muhaimin Malek mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.

Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, negara bakal berdepan kesukaran untuk melaksanakan agenda pembangunan, jika pemimpin menerajui negara tidak mampu bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum.

“Kalau kita tak boleh duduk dengan masyarakat majmuk atau mengambil mereka (golongan bukan Melayu) sebagai antara tanggungjawab (pemimpin), maka sukar untuk kita membangunkan negara.

“BN memiliki rekod prestasi membangunkan negara selama 60 tahun melalui konsep masyarakat majmuk, ‘along the way’ ada pemimpin, termasuk saya buat silap dan terlepas pandang.

“Kita kena sentiasa berubah dan memperbaiki diri, masyarakat akan lihat sama ada kita berpura-pura atau sebaliknya.

“Kalau benar-benar akui kesilapan dan mahu ubah kaedah melayan masyarakat, mereka pasti terima kita balik,” katanya.

 

SUMBER: Buletin TV3