Ipoh: Kerajaan Perpaduan bertekad menyelesaikan segala isu berbangkit berhubung industri sawit negara melalui Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, 18 Oktober depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha kini tertumpu kepada sesi libat urus bagi mendengar pandangan setiap segmen masyarakat termasuk pemain industri di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa perkara disentuh dan diberi perhatian antaranya membabitkan isu berkaitan tenaga kerja asing, kadar pengeluaran sawit yang rendah dan usaha meningkatkan aktiviti hiliran berkaitan sawit dalam usaha memastikan kelangsungan industri sawit negara.
“Kerajaan Madani akan memastikan industri sawit negara ini terus diperkasa, Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook selepas mempengerusikan Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 Bersama Pemain Industri Sawit di sini, hari ini.
Perjumpaan itu turut disertai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta pegawai kanan kerajaan mengadakan perbincangan bersama pemain industri sawit.
SUMBER: HARIAN METRO

