Masa: Isnin - Jumaat 9.00 am - 5.30 pm

“Kerajaan mustahil dapat tampung subsidi RM77.3 bilion secara berterusan,” kata Johari

PETALING JAYA: Kerajaan tidak mampu menampung subsidi RM77.3 bilion yang menjadi jumlah paling tinggi dalam sejarah berdasarkan perangkaan pendapatan negara.

Bekas menteri kewangan II Johari Ghani berkata, ini kerana pendapatan kerajaan kini adalah sekitar RM220 bilion hingga RM230 bilion dalam masa sama subsidi berjumlah sekitar RM77 bilion.

“Mustahil untuk kerajaan tampung jumlah subsidi yang besar seperti ini secara berterusan. Daripada jumlah itu, RM37.3 bilion untuk petrol, diesel dan LPG serta skim penstabilan minyak masak peket satu kilogram berjumlah RM4 bilion.

“Itu saja sudah lebih kurang RM40 bilion. Belanjawan asal untuk subsidi ini sekitar RM31 bilion saja. Terdapat perbezaan yang ketara sekitar RM40 bilion. Dari mana datangnya pendapatan untuk menampung perbezaan itu,” katanya dalam Forum Berani Benar: Malaysia Bakal Menjadi Sri Lanka? secara maya, menurut Berita Harian.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata kerajaan menampung subsidi RM77.3 bilion meliputi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, tepung dan tarif elektrik.

Subsidi kepenggunaan itu adalah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat malahan ia belum lagi termasuk bantuan kebajikan masyarakat lain.

Dalam pada itu, Johari berkata subsidi bersasar adalah langkah mengatasi perbelanjaan subsidi kepenggunaan yang besar oleh kerajaan. Namun, katanya, tambahan subsidi berkenaan diberikan kepada orang yang salah.

“Seperti juga minyak masak, ke mana ia pergi hingga rakyat yang memerlukan tidak dapat minyak masak subsidi. Setiap bulan, kerajaan memberikan subsidi sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak atau 60 juta pek minyak masak satu kilogram.

“Isi rumah ada lebih kurang lapan juta. Jika diikutkan setiap isi rumah dapat tujuh pek minyak masak sebulan, tetapi apa yang berlaku ketika ini, rakyat tidak dapat minyak masak itu. Sebab apa tak dapat, ia adalah disebabkan penguatkuasaan yang lemah,” katanya.

Johari berkata cukai, dividen dan royalti Petronas adalah sumber kewangan kerajaan yang digunakan untuk menampung perbelanjaan subsidi yang besar itu.

Tegas beliau, sumber berkenaan digunakan secara berterusan bagi menampung perbelanjaan subsidi sehinggakan kerajaan tidak lagi dapat menyimpan hasil dari Petronas ini untuk dimanfaatkan sebagai simpanan untuk waktu sukar.

“Kalau kita ambil pendapatan ini dan salur kepada subsidi, ekonomi tidak berjalan dengan cekap. Ia perlu dijadikan simpanan, bila sukar dapat gunakan duit ini. Tetapi kita tak buat, kita pakai habis semua duit ini.

“Akibatnya, penarafan Petronas ketika ini telah turun dari AA, A dan kepada BBB+. Semua masalah kita ambil dan guna duit Petronas. Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera. Urus dan kawal dengan baik,” katanya.

Video : https://youtu.be/qWJceREK5TQ

Sumber : FMT

Previous Johari Ghani: “Kepelbagaian hasil, eksport elak Malaysia jadi seperti Sri Lanka”

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.