BANTING: Kerajaan sedang mengkaji untuk memperluaskan penggunaan teknologi RT-Eco bagi proses rawatan efluen kilang kelapa sawit (POME) dalam memastikan kemampanan pengeluaran komoditi itu.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ini kerana teknologi rawatan efluen dari Singapura itu dilihat mampu memenuhi permintaan pasaran komoditi sawit yang mengutamakan aspek pemeliharaan alam sekitar.
“Dalam industri sawit hari ini, kita berdepan dengan isu alam sekitar. Dunia kalau hendak beli minyak sawit kita ataupun industri lain yang membabitkan efluen, mereka akan teliti kaedah kita buat rawatan sisa efluen ini.
“Ini adalah antara strategi yang kita galakkan iaitu memperbanyak inovasi baharu berkaitan membersihkan sisa efluen, sebelum ia disalurkan ke longkang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat kilang contoh yang menempatkan teknologi itu di Seri Morib Palm Oil Mill di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Pengerusi Merujaya Pome Solutions Sdn Bhd, Tan Sri Dr SA Vigneswaran.
Sementara itu, Johari berkata, MPOB juga diarah untuk meneliti tahap keberkesanan penggunaan teknologi rawatan POME yang menyasarkan penggunaan dalam kalangan pengilang kecil sawit.
“Saya sudah mengarahkan MPOB untuk mengkaji teknologi itu, terutama berkaitan ketahanan dan keberkesanannya sebelum ia diperluaskan ke kilang sawit tempatan lain.
“Saya juga berpandangan teknologi ini boleh diperluas kepada sektor lain yang turut menghasilkan efluen, selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin boleh mengadaptasinya untuk proses rawatan sungai atau air tercemar,” katanya.
RT-Eco dikendalikan Merujaya POME Solutions, menggunakan teknologi elektrokimia bagi merawat POME dalam memastikan sisa yang dihasilkan ketika pemprosesan minyak sawit adalah selamat dan boleh digunakan semula kilang, sekali gus mematuhi standard kemampanan dunia.
SUMBER: BERITA HARIAN

