KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyuarakan kebimbangan terhadap ekonomi negara disamping memberi amaran bahawa Malaysia ketinggalan di belakang negara jiran.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Johari Ghani yang juga ahli Parlimen Titiwangsa memberi tumpuan kepada keadaan ekonomi dan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan membimbangkan.

“Pertumbuhan KDNK 2022 kita sebanyak 8.7% dan adalah menggalakkan. Dari segi peratusan, ada yang mengatakan ia adalah ekonomi yang paling pesat berkembang di kalangan negara Asean,” katanya ketika perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai pertumbuhan ekonomi, terdapat keperluan untuk melihat pertumbuhan KDNK antara 2017 dan 2019, sebelum pandemik, ujarnya lagi.

Kemudian, secara purata, ekonomi berkembang 5% setiap tahun, namun dari tahun 2020 hingga 2022, KDNK hanya berkembang purata 1.9% setiap tahun.

Beliau menjelaskan, ini bermakna Malaysia ketinggalan di belakang Singapura, Indonesia dan Vietnam, yang membimbangkan pertumbuhan ekonomi, kerana ketiga-tiganya pulih pada 2021.

“Tetapi dalam konteks Malaysia, pada 2021, kita masih belum pulih selepas ekonomi kita menguncup pada 2020.

“Itulah sebabnya pada 2022, ekonomi kita meningkat 8.7% kerana kesan asas rendah pada 2021.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah pertumbuhan KDNK bagi suku keempat 2022 menunjukkan penurunan sebanyak 2.6% berbanding suku ketiga 2022,” katanya.

Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyuarakan trend ini amat membimbangkan, memandangkan Bank Dunia meramalkan bahawa ekonomi Malaysia hanya akan berkembang sebanyak 4% pada tahun ini dan 3.9% pada tahun depan, ianya masih lebih rendah daripada purata pra-pandemik iaitu sebanyak 5% setiap tahun.

Sebaliknya, ramalan Bank Dunia untuk Indonesia, Filipina dan Vietnam adalah lebih tinggi antara 4.8% dan 6.5%.

“Angka-angka ini amat membimbangkan kita, sebagai kerajaan, kita perlu melihat bagaimana kita mampu mengawal aliran peratusan itu”, ujar Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau juga menyatakan bahawa kedua-dua Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi global akan perlahan, dan ini turut memberi kesan kepada ekonomi Korea Selatan dan Jepun, yang dijangka menguncup.

Kedua-dua negara adalah rakan dagang utama Malaysia, katanya, sambil menambah bahawa ini juga akan menjejaskan negara.

“Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan, mengakibatkan pengurangan pendapatan isi rumah yang tida seiring dengan peningkatan kos sara hidup.Inilah yang berlaku apabila ekonomi tidak berkembang,” katanya.