KUALA LUMPUR: Semua barisan kepimpinan Umno perlu mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan besar parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, semalam bagi mengembalikan keyakinan rakyat terutama orang Melayu.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tanggungjawab itu perlu digalas semua pemimpin parti termasuk ‘top 5’, ahli majlis tertinggi (MT), ketua bahagian, ketua sayap pergerakan wanita, pemuda dan puteri.

Menurutnya, tanggungjawab itu tidak sepatutnya diletakkan di bahu seorang individu saja dan Umno perlu melihat kembali punca kekalahan itu serta berusaha menawan semula rakyat dengan mengatur strategi secara menyeluruh.

“Semua daripada Umno mesti bertanggungjawab terhadap kekalahan di Kelantan, Terengganu dan Kedah begitu juga di Pulau Pinang dan Selangor.

“Jadi saya sebagai naib presiden walaupun lima bulan saya juga patut bertanggungjawab.

“Jadi, kita ada empat tahun dua bulan daripada sekarang hingga 2027 untuk melihat semula, bagaimana kita mahu memenangi hati orang Melayu seperti mana mereka menyokong kita 60 tahun dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sumbangan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTS) di Taman Maluri di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keputusan yang diumumkan malam tadi, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa orang Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah menolak Umno dengan gagal menawan kerusi di Terengganu serta Kedah.

Katanya, Umno perlu melihat kembali pendekatan yang digunakan, strategi daripada segi penerimaan masyarakat termasuk apa yang rakyat mahukan.

“Secara tidak langsung kita terima hakikat (pengundi) Melayu menolak Umno di tiga negeri.

“Di Pulau Pinang, Selangor sebagai negeri membangun juga ditolak, Pulau Pinang (menang) dua daripada enam (kerusi), Selangor dua dari 12 kerusi.

“Di Negeri Sembilan, kita menang 14 berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kita menang 17 kerusi, kita ‘drop’ tapi ‘oklah’. Apa saya nak tekankan Kelantan, Terengganu dan Kedah orang Melayu menolak Umno itu keputusan kita tak boleh ‘denial’ (nafikan),” katanya.

Mengenai dakwaan penolakan terhadap parti itu disebabkan kerjasama BN bersama DAP, beliau berkata, di Malaysia tidak boleh lari daripada berhubung kait masyarakat majmuk dan penyesuaian itu perlu, namun tidak seharusnya menyalahkan pihak lain melainkan parti sendiri atas kekalahan itu.

“Jadi kita kena ambil positif keputusan yang dibuat rakyat, kita tak boleh marah mereka kerana itu keputusan mereka dan kita perlu ‘adjust’ bagaimana mahu memenangi hati mereka.

“Soal politik ini sangat dinamik. Tak semestinya bila kita ‘down’ macam ini kita rasa kita tak relevan yang penting macam mana kita nak jadi relevan ialah melihat semula kenapa jadi macam ini…itu saja,” katanya.