Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Johari sifatkan Kementerian Perladangan dan Komoditi diterajuinya mencabar

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan Kementerian Perladangan dan Komoditi yang diterajuinya adalah sebuah kementerian mencabar pada masa ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ia memerlukan pemikiran luar kotak dan sekali gus terdapat pelbagai perkara yang ingin dikongsikan dengan kementerian itu nanti.

“Saya tahu kementerian ini agak mencabar buat masa ini. Sudah tentu banyak perkara kita nak tengok, yang mungkin memerlukan pemikiran luar kotak.

“Ada banyak perkara saya fikirkan yang akan saya kongsi dengan kementerian nanti,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, di sini, hari ini.

Beliau adalah antara lima menteri dan lima timbalan menteri baharu, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang medianya di Putrajaya jam 11 pagi tadi mengumumkan pelantikan Johari sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu.

Johari yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan II dilantik ke jawatan itu mengambil tempat Datuk Seri Fadillah Yusof yang bertukar portfolio kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Mengulas lanjut, Johari berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi yang diterajuinya adalah satu daripada komponen dalam ekonomi negara ini.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi merupakan satu komponen dalam ekonomi kita juga. Contohnya, kalau kita tengok dalam konteks pertanian negara kita, pertanian kita kira-kira lapan hingga sembilan peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

“Jadi, perladangan dan sektor komoditi ini mewakili lebih 50 peratus daripada sumbangan pertanian. Banyak benda yang saya nak tengok,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

Previous Johari Abdul Ghani resigns as CI Holdings chairman

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.