Johari sifatkan Bung Moktar sangat setia dalam perjuangan

Johari sifatkan Bung Moktar sangat setia dalam perjuangan

KOTA KINABALU: Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin disifatkan seorang pemimpin yang sangat setia dalam perjuangan UMNO, khususnya di Sabah. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, atas sebab itu, pemergian Ketua UMNO Sabah itu hari ini adalah satu kehilangan besar kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN). “Beliau adalah seorang yang paling setia dalam perjuangan, dia tidak pernah lari ke mana-mana, sama ada BN, UMNO kuat atau tak kuat dia tetap bersama parti.

“Itu menunjukkan keikhlasan dia bersama parti dan dalam perjuangan tidak kira sama ada ketika ada kuasa atau tak ada kuasa, sama ada kuat atau lemah, dia tetap dalam perjuangan,” katanya. Menteri Perladangan dan Komoditi itu ditemui selepas selesai solat jenazah Allahyarham Bung Moktar di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Johari bersama beberapa pemimpin UMNO Pusat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN menyertai jemaah lain menunaikan solat jenazah selepas solat Jumaat, tengah hari tadi.

Sementara itu, pelakon Shaheizy Sam yang juga adik ipar Allahyarham berkata, Bung Moktar kelihatan lemah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) lalu dan paling ketara pada hari terakhir kempen sebelum mengundi pada 29 November. “Ketika kempen PRN17, dia memang nampak tidak sihat dan kali terakhir kami berjumpa sehari sebelum mengundi.

“Setiap kali pilihan raya, saya akan datang ke sini membantu dia berkempen dan pada hari terakhir kempen, dia nampak tidak seperti dulu, tidak bertenaga dan penat. “Paling mengejutkan saya apabila diberitahu keadaannya teruk semalam,” katanya ditemui di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Mengulas lanjut mengenai Bung Moktar, Shaheizy berkata, Allahyarham yang terkenal dengan kelantangan suaranya di Parlimen itu mempunyai sisi berbeza di rumah. “Kita nampak dia agresif di Parlimen, tetapi di rumah dia seorang yang sangat berbeza, tidak pernah marah atau meninggi suara, malah sangat rapat dengan semua anaknya.

“Saya tak akan lupa nasihat arwah yang selalu mengingatkan mengenai emak dan meminta terus menjaga emak,” katanya.

Sumber: Buletin TV3