KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani akan mengadakan satu sidang akhbar khas berhubung isu Kampung Sungai Baru, minggu hadapan.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata sidang akhbar itu bertujuan menjelaskan mengenai isu sebenar pembangunan kampung berkenaan.
Katanya, sejak dari awal lagi beliau sudah melarang penduduk Kampung Sungai Baru menandatangani perjanjian berkenaan.
“Mengenai isu Kampung Sungai Baru, satu sidang akhbar khas akan saya adakan minggu hadapan kerana badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke sini (Kampung Sungai Baru) tidak memahami (isu sebenar).
“Malah sejak penggal pertama saya menjadi wakil rakyat, saya sudah pesan untuk (mereka) tidak tandatangan tetapi mereka tetap tandatangan.
“Oleh demikian, saya akan jelaskan isu ini dari mula hingga akhir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Perkarangan Pintu Gerbang Kampung Baru, di sini hari ini.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.
Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Johari pada minggu lalu berkata, isu penduduk Flat Kampung Sungai Baru akan dibawa dalam sidang Parlimen akan datang.
Johari berkata, beliau berjanji akan membangkitkan perkara itu bagi menyelesaikan isu penduduk yang sudah berpindah dari premis tetapi masih belum mendapat rumah.
Sejak lima tahun berlalu, beliau berkata, terdapat penduduk yang berpindah tidak mampu lagi untuk membayar sewa rumah.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan masuk campur urusan berkenaan kerana ia berlarutan sehingga menjadi masalah kerajaan kerana ia membabitkan hal rakyat.
SUMBER: Buletin TV3

