Putrajaya: Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Julai.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa pada 4 Julai.
Nik Nazmi, 43, berkata sejak menerajui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Disember 2022 dan kemudian Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, beliau berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.
Sebelum ini, Nik Nazmi dilaporkan berkata kegagalan mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini juga telah mendorong beliau memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai menteri.
Sumber: Metro

