Johari Ghani puas hati terajui KPK

PADANG TERAP: Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengakui gembira dan berpuas hati menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) walaupun namanya disebut-sebut antara yang berpotensi mengisi kekosongan jawatan Menteri Ekonomi sekiranya berlaku rombakan Kabinet.

Naib Presiden UMNO itu berkata, KPK berperanan besar dalam pembangunan ekonomi negara, khususnya menjana pendapatan masyarakat luar bandar dan meningkatkan hasil eksport menerusi pelbagai produk komoditi utama negara.

“Itu bukan hak saya. Saya gembira di Kementerian Perladangan dan Komoditi.

“Ini antara kementerian yang banyak menabur bakti kepada masyarakat luar bandar dan kita juga boleh menabur bakti kepada pemain industri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, di sini hari ini.

Mengenai spekulasi pelantikannya sebagai Menteri Ekonomi, Johari mengambil pendekatan terbuka dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semua orang boleh ada pandangan atau keinginan, tapi soal jawatan bukan di tangan kita. Apa yang penting, kerajaan hari ini stabil dan harmoni, jadi kita teruskan kerja dan beri tumpuan kepada amanah masing-masing,” katanya.

Johari turut merakamkan penghargaan terhadap usaha kerajaan terdahulu, khususnya pentadbiran Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan sektor komoditi negara secara berperingkat dan tersusun.

Katanya, KPK akan terus memperkukuh dasar sedia ada dan melaksanakan penambahbaikan demi memastikan sumbangan sektor komoditi kepada ekonomi kekal mampan dalam jangka panjang.

Johari berkata, sektor seperti kelapa sawit, koko dan getah kekal relevan serta strategik dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya dipacu dengan dasar yang tepat dan pelaksanaan berkesan.

“Contohnya, kelapa sawit sahaja mencatat nilai eksport RM114 bilion tahun lalu, menjadikan Malaysia pengeluar kedua terbesar dunia.

“Koko pula walaupun kita bukan pengeluar utama, kita berjaya manfaatkan aspek pemprosesan dan nilai tambah hingga capai eksport RM15 bilion.

“Industri getah menunjukkan kejayaan hasil pelaburan puluhan tahun dalam penyelidikan dan pembangunan. Malaysia kini antara pengeksport getah terbesar dunia,” katanya.

 

SUMBER: Buletin TV3