Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Johari Ghani: “Kepelbagaian hasil, eksport elak Malaysia jadi seperti Sri Lanka”

KUALA LUMPUR: Kepelbagaian sumber pendapatan dan eksport negara ini akan mengelakkan Malaysia daripada menjadi muflis seperti Sri Lanka, malah struktur ekonomi kedua-dua negara adalah amat berbeza, kata bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau menjelaskan, setiap negara mempunyai pendapatan serta eksport yang berbeza yang mana dalam hal ini, Sri Lanka terlalu banyak bergantung kepada sektor pelancongan dan pertanian, berbanding Malaysia yang sumber hasilnya adalah lebih pelbagai.

“Kita kena melihat dulu beza Sri Lanka dengan Malaysia sebelum boleh memperkatakan sebarang isu mengenai perkara ini. Sri Lanka telah berdepan dengan krisis kewangan sejak 2012, berbeza dengan kita yang baru bermula.

“Apabila datang pandemik, ia terus memberikan impak yang besar kerana negara itu bergantung kepada pelancongan. Hutang mereka meningkat setiap tahun sehingga AS$101 bilion ketika ini, dengan AS$51 bilion adalah hutang dalam mata wang asing.

”Mereka tak boleh bayar sebab pendapatan tak ada. Berbeza dengan kita sebab Malaysia mempunyai kepelbagaian sumber pendapatan dan eksport,” katanya dalam Forum Berani Benar: Malaysia Bakal Menjadi Sri Lanka? secara maya, malam tadi.

Johari berkata, walaupun Malaysia turut bergantung kepada industri pelancongan, tetapi jumlahnya tidak besar seperti Sri Lanka kerana negara mempunyai sumber pendapatan lain yang dapat dieksport seperti gas, minyak sawit dan minyak mentah.

”Kita pengeluar gas utama dunia selain minyak mentah dan minyak sawit. Harga minyak sawit kita meningkat setiap tahun selain harga komoditi yang lain.

”Kita juga ada eksport barangan elektrik dan elektronik, komponen, petroleum dan kimia. Pendapatan eksport apabila ditolak dengan import, kita masih ada lagi lebihan walaupun marginnya tidak besar,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, lebihan dagangan yang diperoleh Malaysia pada masa ini tidak dapat mengukuhkan ringgit, kerana negara masih banyak bergantung kepada import yang membabitkan jumlah agak besar.

Selain itu, katanya lonjakan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) turut menyaksikan aliran keluar dana asing dan perkembangan sedemikian turut menyebabkan simpanan dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) tidak meningkat drastik sedangkan eksport negara naik mendadak.

”Hasil kita dapat cepat hilang sebab import yang besar. Bila mengimport, kita tak boleh guna ringgit, kena ikut mata wang asing.

”Sebab itu saya merasakan jika berlakunya sekali lagi krisis seperti pandemik COVID-19, Malaysia hanya mampu bertahan sekitar lima hingga enam bulan dari segi nilai import. Sukar untuk bertahan jika kita tidak berhati-hati,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

Previous “GST penyelesai masalah struktur ekonomi Malaysia,” kata Johari Ghani

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.