Masa: Isnin - Jumaat 9.00 am - 5.30 pm

Johari Ghani: “Kaji dahulu sebelum muktamad mansuh AP makanan”

KUALA LUMPUR: Pemansuhan permit kelulusan (AP) barang makanan memerlukan kajian terperinci dari aspek keperluan dan jenis barangan yang terbabit sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat, kata Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau menjelaskan, analisis terperinci itu penting kerana ada daripadanya yang diusahakan oleh rakyat tempatan khususnya yang terbabit dalam sektor pertanian dan penternakan, dan dengan langkah pemansuhan berkenaan, ia pasti akan menjejaskan perniagaan dan sumber pendapatan mereka, selain daripada kepastian mengenai standard halal.

“Kita kena senaraikan dahulu barang makanan yang diimport menggunakan AP ketika ini, seterusnya kaji kesan pemansuhan AP dari aspek keselamatan makanan dan kesan kepada sektor pekerjaan sedia ada yang akan terjejas selepas AP dimansuhkan.

“Kena ada analisis terperinci kesannya terhadap industri makanan yang telah lama beroperasi di negara ini. Kita tidak mahu ada industri ini akan tutup sepenuhnya dan bertukar kepada model perniagaan hanya bergantung kepada import sepenuhnya,” katanya kepada BH.

Beliau mengulas langkah kerajaan memansuhkan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Johari berkata, kerajaan juga perlu memastikan kualiti barang makanan yang diimport tanpa AP memenuhi piawaian atau standard yang ditetapkan.

“Jika tiada pemantauan yang baik dan cekap, ia akan menyebabkan lambakan barang makanan yang tidak berkualiti dan tidak memenuhi tahap persijilan halal yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam laporan muka depan BH, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Dengan pemansuhan keperluan berkenaan, sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini sebagai antara usaha menangani isu keselamatan makanan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengemukakan segera cadangan jangka pendek dan panjang bagi memastikan perang di Ukraine tidak memberi kesan besar terhadap keselamatan makanan negara.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar seluruh dunia bimbang dengan kesan perang memberi impak terhadap bekalan makanan dan meminta semua pihak diminta menunggu pengumuman MAFI membabitkan AP.

Sumber: BERITA HARIAN

Previous Johari Ghani: “Pandangan Najib-Anwar saling melengkapi pulihkan ekonomi Malaysia”

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.