Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Johari Ghani dilantik penganjur Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dilantik sebagai penganjur Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penganjuran kolokium itu adalah bagi mendokong pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera yang dijadual berlangsung Januari depan.

“Melalui kolokium ini, Johari akan menggembleng kepimpinan UMNO semua peringkat di seluruh negara bagi mendapatkan dapatan, maklum balas dan sumbang saran.

“Segala dapatan, maklum balas dan sumbang saran yang diperoleh melalui kolokium ini akan diangkat kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan kelak,” katanya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini.

Kerajaan akan menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Januari depan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata, dengan mendepani cabaran bagi tempoh 30 tahun akan datang, agenda Bumiputera perlu diberikan wajah dan semangat baharu dengan pelbagai perencanaan yang lebih strategik dan berkesan.

Beliau berkata, ia adalah penting bagi memperkasakan lagi ekonomi Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO menyanjung tinggi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan untuk menganjurkan kongres itu, sekali gus membuktikan keseriusan kerajaan untuk terus memperkasakan lagi agenda ekonomi Melayu-Bumiputera.

“UMNO juga ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan dan keyakinan memberikan amanah besar kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk mempengerusikan kongres yang penting ini.

“Sesungguhnya Kongres Ekonomi Bumiputera adalah cetusan awal UMNO pada 1965 yang bukan sahaja menggagaskan pelbagai strategi namun inisiatif penting menggerakkan agenda Melayu-Bumiputera, selain melahirkan pelbagai institusi bermakna buat orang Melayu-Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin yang mana sumbangannya akan dihantar sendiri secara terus ke Gaza.

Beliau berkata, kutipan derma itu akan diuruskan oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai tanda komitmen seluruh ahli parti bersolidariti dan sejiwa bersama Palestin.

“Negara dunia dan masyarakat antarabangsa yang berpegang kepada prinsip keamanan dan kemanusiaan sebagaimana disepakati melalui Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) wajib menyatakan pendirian tegas dan memberikan tekanan kepada Israel supaya menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

“UMNO menyelar sikap hipokrasi negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan kedaulatan rakyat untuk mempertahankan tanah air sendiri seperti di Ukraine, namun menghalalkan penyembelihan rakyat tidak berdosa yang hanya pertahankan hak kedaulatan daripada rejim Israel,” katanya.

Pejuang Hamas mula melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, sebelum rejim itu melakukan serangan balas yang mengorbankan ribuan orang.

Sumber : BERITA HARIAN

Previous Be consistent with how GLCs work, Johari tells govt

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.