Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Johari cadang pindahan tunai elak ketirisan subsidi minyak masak paket

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan sistem pindahan tunai diberikan terus kepada isi rumah yang layak bagi mengelakkan ketirisan subsidi minyak masak paket.

Johari (BN-Titiwangsa), berkata sistem pindahan tunai itu membolehkan subsidi sampai kepada golongan B40 dan memudahkan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua berkata, ketika ini negara mengeluarkan 60 juta paket minyak masak sebulan atau 720 juta paket setahun yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram (kg) yang memanfaatkan 3.2 juta isi rumah.

Namun, katanya, berlaku ketirisan antaranya ada pemborong menjual kepada syarikat mikro pada harga lebih daripada RM2.50kg menyebabkan sasaran subsidi tidak berlaku.

“Akhir-akhir ini ada orang beli minyak paket untuk dibuat bio-diesel kerana minyak masak kitar semula lebih tinggi daripada minyak masak paket. Saya berpandangan kita boleh buat pindahan tunai, contohnya setiap rumah golongan B40 guna sekitar lima kg sebulan, jadi kita memang nak bagi harga RM2.50.

“Perbezaan dengan harga pasaran itu kita buat pindahan tunai, jadi pihak KPDN tak perlu buat penguatkuasaan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh bersetuju bahawa terdapat ketirisan dalam pemberian subsidi minyak masak paket ketika ini.

Katanya, pihak kementerian akan membuat penyasaran semula subsidi minyak masak paket.

“Pemindahan tunai adalah salah satu cara terbaik untuk menyasarkan subsidi minyak masak, namun mekanisme belum kita tuntaskan, tapi itulah arah dan tujunya,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

Previous Dewan Rakyat: Minyak masak peket diseleweng buat biodiesel – Johari

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.