Waktu Operasi : Isnin - Jumaat | 9.00am - 5.30pm

Berita

Home > Berita

Johari akan jaga kebajikan rakyat Titiwangsa

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berjanji akan terus berkhidmat kepada rakyat kawasan itu selepas diberi kepercayaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Beliau yang mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad dengan majoriti 4,632 undi berkata, dengan mandat diberikan akan berkhidmat lebih kuat lagi bagi menjaga masyarakat bandar di Titiwangsa.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan masyarakat bandar Titiwangsa yang telah memilih saya sebagai wakil rakyat Titiwangsa untuk menjadi suara dan khidmat kepada kawasan Parlimen ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN) Titiwangsa yang bertungkus lumus membantu memenangkan saya.

“Kemenangan ini merupakan hasil kerja anda semua yang bersama saya melakukan kerja khidmat kawasan selama empat tahun enam bulan walaupun pada ketika itu saya bukan wakil rakyat,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.

Dalam pertandingan semalam, Johari mendapat 25,042 undi, manakala Khalid bekas Ahli Parlimen Shah Alam memperoleh 20,410 undi.

Dua lagi calon yang bertanding ialah Dr. Rosni Adam dari Perikatan Nasional (PN) meraih 14,518 undi dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dari Parti Pejuang sekadar mampu berpuas hati dengan 888 undi. – MalaysiaGazette

Sumber: MALAYSIA GAZETTE

Previous GE15: It was worth it, says Johari Ghani

Johari Ghani © 2023. Hakcipta Terpelihara.