KUALA LUMPUR: Tiga kementerian utama akan menjalankan penilaian faktor perbezaan pengiktirafan risiko antara Malaysia dengan Thailand, menerusi Jawatankuasa Khas Peraturan Produk Anti-Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Ia membabitkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Langkah pertama adalah untuk mesyuarat susun dan kita boleh maklum pasal apa kita Negara Berisiko Standard sedangkan Thailand dikategori Negara Berisiko Rendah.
“Kita kena susun strategi macam mana nak meningkatkan daripada ‘standard risk’ kepada risiko rendah, jadi bila risiko rendah ni dia boleh masuk ke mana-mana dunia,” kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika ditemui selepas Mesyuarat UMNO Bahagian Titiwangsa, hari ini.
Jelasnya lagi, tiada sasaran jangka masa yang diletakkan dalam usaha meningkatkan pengiktirafan itu kerana terdapat banyak perkara di luar bidang kuasa kerajaan persekutuan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Eropah (EC) memberi penilaian status ‘risiko standard’ kepada Malaysia baru-baru ini di bawah EUDR.
Terdahulu, media melaporkan Undang-Undang EUDR akan berkuat kuasa pada 30 Disember depan, sekali gus memberi cabaran besar kepada industri sawit negara.
Sumber: TV3

