KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menasihati Barisan Nasional (BN) untuk tidak terlalu yakin dengan kemenangan yang diperoleh pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.
Jelasnya BN perlu fokus kepada tanggungjawab sebagai pemimpin kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
“Sekarang ini landskap politik telah berubah, jadi kita tidak boleh ‘overconfident’ dan setiap undi ini kita perlu jaga sebaiknya dan menunjukkan bahawa kita betul-betul ingin memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di kawasan tersebut,
Tambahnya perkara sama perlu diutamakan BN dalam PRK DUN Mahkota yang akan diadakan 28 September ini.
“Buat masa ini mereka sedang menyusun calon-calon dan kita pastinya akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan kerusi ini,” katanya selepas merasmikan pusat pemborong sayuran Cameron Harvest KL di sini hari ini.
Mengulas mengenai Perikatan Nasional (PN) yang dijangka akan mengumumkan calonnya dalam tempoh seminggu lebih awal sebelum hari penamaan calon, jelasnya tumpuan utama BN adalah kepada usaha menarik bilangan pengundi.
“Saya lebih menekankan kepada dalam kempen ini kerana kita kena ingat bahawa landskap politik ini telah berubah dan pengundi di luar sana banyak pilihan dan mereka ingin lihat siapa yang mahu dipilih dan mestilah yang terbaik
“Justeru kita kena pastikan parti, calon dan jentera kita mesti bekerja selari dengan matlamat parti,” ujarnya.
PRK DUN Mahkota diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.
SUMBER: BULETIN TV3

