BENTONG: Jangan timbul paksaan oleh mana-mana pihak khususnya dalam parti membentuk Kerajaan Perpaduan sehingga memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk melakukan rombakan dalam barisan Kabinet.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan, terpulang kepada Anwar sama ada hendak atau sebaliknya membuat rombakan kerana itu adalah kuasa mutlaknya sebagai Perdana Menteri.
Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa itu, beliau selaku antara pemimpin dalam kerajaan sekarang perlu menggalas tugas dan peranan sedia ada sebaik mungkin bagi membantu negara.
Memberi contoh tugas yang dipikulnya ketika ini, beliau diberi tanggungjawab untuk menjadi pengerusi penyokong kerajaan atau ‘backbenchers’ bagi mempertahan kerajaan perpaduan, selain dilantik sebagai pengerusi pasukan petugas 1MDB.
Ketika ditanya adakah namanya terkait rombakan dalam Kabinet, beliau bagaimanapun tidak mengiya atau menidakkan spekulasi bakal dilantik menganggotai Jemaah Kabinet.
“Saya berpandangan, dalam mana-mana kerajaan, Perdana Menteri mesti ada keputusan eksklusif.
“Kita tidak boleh memberi sebarang tekanan kepada Perdana Menteri sebab kita semua sudah memilih dia menjadi Perdana Menteri dan kita sokong dia.
“Dalam politik ini, apabila dia jadi Perdana Menteri, dia akan susun barisan dia (mahukan) dan pasukan dia. Macam main bola. Dia tak boleh main seorang kerana dia kena ada pasukan.
“Begitu juga kerajaan. Kerajaan kena ada pasukan dan masing-masing ada kepakaran masing-masing. Tetapi dia kena ambil masa menyesuaikan dari segi perjalanan kerajaan.
“Sebab itu tidak (boleh) ada paksaan dan kita juga tidak boleh paksa Perdana Menteri buat apa yang dia memikirkan lebih baik kepada negara. Kita kena bagi masa kerana tempoh 10 bulan ini terlampau pendek untuk mentadbir kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program jelajah mesra dan ziarah kasih masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Gapoi di sini, hari ini.
Sejak terbentuknya Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN, Johari berpandangan, kepimpinan dalam parti masing-masing memerlukan masa secukupnya untuk merapatkan saf.
Jelas bekas Menteri Kewangan II itu, masa yang cukup adalah mustahak supaya masing-masing dapat menunjukkan kesepaduan bagi mentadbir negara, di tengah-tengah tekanan isu ekonomi global sehingga memberi tempias juga kepada negara.
“Bila 10 bulan kita berdepan dengan ekonomi global yang besar. Kemudian kita juga berdepan dengan cara untuk menyesuaikan bekerja dengan parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Contoh DAP, PKR, Umno dan Amanah, ini semua salah transaksi yang perlu kita lalui dan saya rasa, kalau bagi masa yang secukupnya hingga 2027. Saya ingat kita akan nampak dan boleh menilai keberkesanan Kerajaan Perpaduan mentadbir negara,”
Sumber : HARIAN METRO